MESSI (tengah) dikawal dua pemain Malaga.
MESSI (tengah) dikawal dua pemain Malaga.
AFP

Madrid: Lionel Messi menjaringkan gol menarik ketika membantu Barcelona melonjak ke tangga teratas La Liga menerusi kemenangan 2-1 di Malaga, awal pagi semalam.

Kelab juara Eropah itu melakukan permulaan baik apabila Munir El Haddadi menjaringkan gol selepas 64 saat tetapi gagal mempertahankan kelebihan hingga membolehkan Malaga menyamakan kedudukan menerusi Juanpi, 13 minit sebelum rehat.

Messi bergelut dengan masalah hamstring minggu lalu namun pemain terbaik dunia lima kali itu mempamer prestasi membanggakan apabila menghasilkan gol kedua pasukannya menerusi rembatan voli yang juga gol ke-20 baginya musim ini dan membolehkan Barca mendahului Atletico Madrid dengan kelebihan satu mata di persada La Liga.

“Kami bermula dengan jaringan pada minit pertama dan ia meletakkan semuanya di landasan tepat tapi kami gagal mempertahankan kelebihan. Kedudukan 1-1 sebelum rehat mungkin tidak adil jika persembahan cemerlang Malaga diambil kira kerana kami bermain agak buruk,” kata kapten Barca Andres Iniesta.

“Pada babak kedua, saya rasa kami sudah kembali mantap dan bermain seperti biasa.”

Pengurus Barca Luis Enrique memuji kekuatan mental anak buahnya walaupun mempamer aksi yang jauh daripada biasa.

“Saya dapat melihat peningkatan pasukan pada babak kedua dan semangat juang pemain membolehkan kami mendapat keputusan yang dikehendaki,” katanya.

“Mereka kata ia salah satu karakter paling penting untuk mengharungi perlawanan besar, menang walaupun ketika anda bermain buruk.”

Barcelona turun tanpa Neymar yang cedera manakala Gerard Pique pula digantung tetapi mereka kembali mendapat khidmat Messi serta Luis Suarez selepas kedua-duanya tidak bermain ketika menang 2-1 ke atas Athletic Bilbao dalam saingan Copa del Rey.

Suarez pantas membuatkan lawan terpaksa berhati-hati apabila rembatannya pada awal permainan mencemaskan tuan rumah tetapi bola yang ditampan Carlos Kameni singgah di kaki El Haddadi yang mudah menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:07 AM