Nicosia: Selepas berjaya muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman di La Liga, Lionel Messi pastinya mahu mencatat lebih banyak sejarah ketika dia Barcelona bertandang ke APOEL Nicosia pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Dua gol Messi ketika membantu pasukannya menang 2-0 di Ajax tiga minggu lalu membolehkan namanya kini sebaris dengan legenda Real Madrid Raul yang meledak 71 gol dalam saingan itu sekali gus mengesahkan kemaraan Barca ke pusingan kalah mati buat kali ke-11 berturut-turut.

Bagaimanapun, anak buah Luis Enrique itu masih perlu sekurang-kurangnya satu mata di Cyprus bagi memastikan mereka mampu muncul sebagai juara Kumpulan F.

Rekod catatan Messi itu membayangi prestasi Barca setakat ini dan dia cemerlang ketika membantu kelab membelasah juara Liga Europa Sevilla 5-1 hujung minggu lalu dengan bintang Argentina itu menjaringkan hatrik ke-27 buat kelab sambil Neymar dan Ivan Rakitic turut mencatat nama.

Cubaan Luis Suarez untuk menamatkan kemarau gol bersama Barcelona menemui jalan buntu tetapi Enrique tidak bimbang dengan keupayaan pemain Uruguay itu.

“Ia (jaringan) pasti datang. Bukan mudah untuk memiliki seorang pemain sehebat Luis. Dia boleh menjaringkan gol dan juga membantu jaringan,” kata Enrique.

“Mereka semua bermain secara berpasukan. Semua pemain kami yakin Luis akan menjaringkan gol untuk Barcelona.”

Rakitic turut mengaku kemenangan itu memainkan peranan penting selepas mengharungi minggu sukar yang menyaksikan Barca tewas di tangan Real Madrid serta Celta Vigo secara berturut-turut sebelum bergelut untuk menang 2-1 ke atas Almeria.

“Adalah penting untuk kami kembali bermain cemerlang kerana ia akan meningkatkan keyakinan. Apa yang penting ialah penyokong terus memberikan semangat buat kami.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:06 AM