TEMPAT kejadian tembak di luar Hospital Mercy. -Foto Daily Mail
TEMPAT kejadian tembak di luar Hospital Mercy. -Foto Daily Mail
Reuters

CHICAGO: Seorang lelaki bersenjata menembak mati seorang doktor di luar sebuah hospital Chicago hari ini sebelum masuk ke dalam dan membunuh seorang pembantu farmasi dan anggota polis apabila saling berbalas tembakan sebelum turut maut dalam pertumpahan darah itu, kata pegawai.

Penembak mengenali doktor yang ditembaknya di luar Hospital Mercy, dikenali sebagai Tamara O’Neal, kata Superintenden Polis, Eddie Johnson, dalam sidang akhbar, dan media tempatan.

Dalam reaksi awal itu, Johnson menyifatkan tindakan lelaki terbabit sebagai satu perbuatan keganasan domestik.

Lelaki itu juga adalah bekas tunang doktor berkenaan dan seorang saksi berkata, dia menuntut supaya mangsa menyerahkan semula sebentuk cincin, lapor media Chicago.

Puluhan doktor dan pesakit berpusu-pusu keluar dari situ selepas tembakan kedengaran, ada di kalangan mereka mengangkat tangan ketika anggota polis bersenjata berat mengawal kawasan.

“Bandar Chicago kehilangan seorang doktor, pembantu farmasi dan anggota polis yang hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Kejadian ini merobek jiwa penduduk di sini. Ia perbuatan seorang yang berniat jahat,” kata Datuk Bandar Rahm Emanuel kepada wartawan.

Selepas membunuh bekas tunangnya, lelaki itu melepaskan tembakan ke arah beberapa anggota polis menggunakan selaras senapang patah, kata Johnson.

Lelaki itu yang belum lagi disiarkan identitinya, kemudian masuk ke dalam hospital diekori anggota keselamatan sebelum mereka berbalas tembakan selama beberapa minit.

Seorang anggota polis, Samuel Jimenez, 28, yang baru memulakan khidmat tahun lalu, turut terkorban. Dia sudah berkahwin dan mempunyai anak serta menjadi anggota kedua maut ketika bertugas tahun ini.

Kejadian ganas itu dipercaya dilakukan secara rambang kerana penyerang menembak pembantu farmasi yang kebetulan keluar daripada lif.

Penembak itu turut maut tetapi tidak diketahui sama ada dia menembak diri sendiri atau kena tembakan polis, kata Johnson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 6:17 PM