Leicester, England: Pengurus Leicester Claudio Ranieri tetap tenang walaupun beliau kehilangan beberapa pemain utama seperti Jamie Vardy dan Riyad Mahrez ketika kecemerlangan pasukannya semakin teruji.

Foxes hanya menang sekali sepanjang tujuh perlawanan liga dan piala dengan penyerang England Vardy gagal menjaringkan gol dalam enam aksi manakala pemain sayap Algeria Mahrez turut layu.

Selepas bertemu Stoke malam ini, anak buah Ranieri akan bertemu Liverpool, Manchester City dan Arsenal.

Namun pengendali Itali itu yang tidak mahu terbawa-bawa dengan keupayaan pasukannya menduduki antara tangga teratas liga ketika ini, enggan menyerah kalah walaupun anak buahnya semakin kemarau jaringan.

“Jamie tidak cergas sepenuhnya kerana dia bermain terlalu kerap dan dia juga tidak turun berlatih,” kata Ranieri ketika Leicester kini berkongsi kedudukan dengan Arsenal dan ketinggalan menerusi perbezaan gol.

“Dia sedang dilanda masalah kecergasan. Dia tidak berlatih tapi diturunkan pada perlawanan, menjaringkan gol. Untuk minggu berikutnya, dia sekali lagi tidak turun dan diberi rehat sehari atau dua sebelum kembali bermain.

“Disebabkan itu, dia kehilangan stamina. Itu perkara biasa. Kini dia sudah semakin baik sejak menjalani pembedahan pangkal paha.

“Dia berehat selama dua bulan. Ia bukan tempoh singkat tapi dia sudah boleh bermain dan berlatih seperti yang lain.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:07 AM