VARDY (kanan) masih bekerja keras pecah kebuntuan.
VARDY (kanan) masih bekerja keras pecah kebuntuan.

Sunderland, England: Pengurus Leicester, Claudio Ranieri menegaskan beliau masih percaya terhadap Jamie Vardy sekalipun penyerang England itu kemarau gol dalam Liga Perdana selama tiga bulan.

Vardy gagal meledak bagi 16 perlawanan berturut-turut ketika kempen juara bertahan itu menerima tamparan lagi dengan kekalahan 1-2 di tangan pasukan bawahan Sunderland kelmarin sekali gus menyebabkan Foxes hanya dua mata di atas zon penyingkiran.

Vardy menjaringkan gol buat England ketika seri 2-2 dengan Sepanyol pada aksi persahabatan di Wembley bulan lalu.

Namun pemain berusia 29 tahun itu, yang membantu kejayaan mengejut Leicester Mei lalu, gagal menemui sasaran buat kelabnya sejak meledak di Liverpool pada 10 September lalu dan hanya menyumbat empat gol setakat ini.

Penyerang Jepun, Shinji Okazaki menjaringkan gol sagu hati lewat permainan ketika Leicester mengalami kekalahan kelima dalam sembilan perlawanan dengan Vardy sekali lagi bergelut membuktikan kewibawaannya, berbanding ketika meledak 28 gol musim lalu.

Ditanya jika kini masanya mengetepikan Vardy daripada barisan serangan, Ranieri menegaskan: “Bagi saya, Jamie bekerja keras untuk pasukan dan sekalipun gol penting, saya percaya dengannya. Mungkin tidak lama lagi dia akan mula menjaringkan gol semula.”

Ranieri menempelak dakwaan Leicester lebih menumpukan perhatian dalam aksi sulung Liga Juara-Juara.

“Saya fikir tahap kami sama saja dalam Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 5:08 AM