VARDY menjaringkan gol dari jarak 30 ela menewaskan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet.
VARDY menjaringkan gol dari jarak 30 ela menewaskan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet.
AFP

Leicester: Claudio Ranieri percaya Jamie Vardy dan rakan sepasukannya di Leicester akan bangkit pada masa tepat menjelang pertemuan penting menentang Manchester City dan Arsenal selepas ini.

Anak buah Ranieri itu akan bertandang ke City, Sabtu ini sebelum berdepan Arsenal dan keyakinan semua pemain berada pada tahap terbaik selepas menang 2-0 ke atas Liverpool di Stadium King Power, semalam.

Vardy melonjakkan reputasinya dengan dua gol termasuk rembatan dari jarak 30 ela sekali gus menambah jumlah jaringannya musim ini kepada 18 dan membuktikan prestasinya semakin baik selepas menjalani pembedahan pangkal paha, awal bulan lalu.

“Riyad Mahrez melakukan hantaran menarik dan saya sukar mempercayai apa yang Vardy lakukan,” kata Ranieri mengenai gol pembukaan berkenaan.

“Dia melihat bola itu datang, menilai kedudukan pemain lawan serta penjaga gol.

“Sebaik melihat penjaga gol lawan tidak berada di tempatnya, dia melepaskan rembatan untuk menggegar gawang.

“Gol itu sukar dipercayai, hebat dan luar biasa yang dihasilkan tidak sampai sebulan dia kembali menjalani latihan. Sebelum ini dia tidak berlatih. Dia bermain tanpa berlatih dan sudah pasti, ia bukan mudah.

“Dia terus menjaringkan gol dan pada hujung permainan memperlahankan pergerakannya.

“Dia sudah cergas sepenuhnya. Dia ialah Vardy yang baru. Dia memberi tekanan kepada lawan dan menjaringkan gol.”

Leicester tidak bermain hujung minggu lalu selepas tersingkir daripada saingan Piala FA dan bangkit mempamer aksi bertenaga untuk menundukkan Liverpool sekali gus memiliki kelebihan tiga mata berbanding pasukan tempat kedua, Manchester City menjelang pertemuan kedua-dua pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:25 AM