Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Mahkamah Tinggi Seremban, di sini hari ini memerintahkan Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin membayar ganti rugi RM50,000 kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus kerana memfitnahnya pada 2014.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dalam kamarnya turut memerintahkah Badrul Hisham yang lebih dikenali Chegubard membayar RM10,000 sebagai kos tindakan kepada plaintif.

Peguam Hazwan Mohd Nor yang mewakili Mohd Nazree berkata, hakim mengarahkan Chegubard membayar RM40,000 sebagai ganti rugi am dan RM10,000 sebagai ganti rugi teruk.

"Keputusan ini dianggap satu keadilan apabila mahkamah mempertimbangkan kerosakan nama plaintif dan tekanan dihadapi akibat tulisan berunsur fitnah yang masih boleh dibaca.

"Selain itu Chegubard juga tidak menyatakan permohonan maaf atas tulisannya," katanya

Mohd Nazree memfailkan saman fitnah terhadap Chegubard, 36, di Mahkamah Tinggi Seremban pada 20 Oktober 2014 membabitkan kenyataannya memfitnah Mohd Nazree ketika pemilihan kepimpinam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 2:40 PM