MAMAT (dua dari kanan) dan kurator pameran, Mohd Zahuri (dua dari kiri) di Sarang, Tanjung Malim.
MAMAT (dua dari kanan) dan kurator pameran, Mohd Zahuri (dua dari kiri) di Sarang, Tanjung Malim.
MAMAT meluangkan masa bersama pengunjung pameran lukisan.
MAMAT meluangkan masa bersama pengunjung pameran lukisan.
BERSAMA kru Sarang yang banyak membantunya mengendalikan pusat kesenian itu.
BERSAMA kru Sarang yang banyak membantunya mengendalikan pusat kesenian itu.
Oleh Rosman Shamsudin


Walaupun sibuk mengurus pusat kesenian Sarang di Tanjung Malim, Perak sejak Oktober tahun lalu, pengarah filem terkenal Mamat Khalid tetap mencuri masa menghasilkan skrip filem terbarunya.

Mamat yang dikenali dengan sentuhan dan garapan tersendiri dalam filem arahannya bakal muncul dengan filem genre berat berjudul Hitam Hati.

“Temanya agak berat dengan unsur keagamaan, murtad dan hidayah. Mungkin ini antara filem yang berbeza daripada saya,” katanya.

Mamat sememangnya terkenal dengan sentuhan idea yang berbeza dalam filemnya sebelum ini seperti Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang, Estet, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Amir & Loqman Pergi Ke Laut.

Hitam Hati mengisahkan sekumpulan pelajar Melayu yang menuntut di luar negara. Mereka yang mengamalkan cara hidup bebas akhirnya menolak kewujudan Tuhan dan menjadikan mereka bangga serta bongkak dengan kepercayaan itu.

Apabila pulang ke tanah air, wujud konflik dengan kumpulan pendakwah Islam hingga membabitkan kematian salah seorang ahli kumpulan pendakwah itu.

Mereka kemudian ditangkap dan didapati bersalah serta dijatuhkan hukuman mati. Waktu itu mereka mula diselubungi ketakutan untuk menghadapi kematian.

“Sama ada mereka sempat mengucap kalimah syahadah di tali gantung hanya diketahui dalam filem ini nanti,” katanya.

Mamat berkata, skrip filem Hitam Hati dalam proses kemas kini dan dijangka memulakan penggambaran pertengahan tahun ini di dalam dan luar negara.

“Mengenai barisan pelakon, ada beberapa pelakon popular dan baru dalam senarai saya,” katanya yang juga penerbit filem berkenaan.

Dalam pada itu, Mamat yang kini menetap di Tanjung Malim berkata, sejak menguruskan Sarang dan menganjurkan pelbagai program seni untuk anak muda, dia memperoleh banyak idea menghasilkan skrip filem.

“Tinggal di sini (Tanjung Malim) lebih tenang. Saya sukakan suasananya dan ia beri saya banyak idea,” katanya yang turut mengusahakan restoran makanan Barat yang diberi nama Rasa Sarang Cafe di situ.

Sementara itu, tahun ini Mamat bakal muncul dengan dua filem arahannya iaitu Lebuh Raya Ke Neraka lakonan Awie, Khir Rahman dan Pekin Ibrahim pada Mei ini dan Rock Bro yang juga sekuel kepada Rock Oo pada Oktober nanti.

“Filem ini sesuai ditonton semua lapisan masyarakat. Saya mengharapkan peminat filem terus menyokong industri filem tempatan,” katanya ketika ditemui di pameran lukisan berjudul Mata Melihat Kaki Tertusuk di Sarang yang bermula 16 Januari hingga 25 Januari ini.

Pameran anjuran Sarang dengan kerjasama pelajar tahun akhir Jabatan Seni dan Studio Catan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menampilkan lebih 30 lukisan karya pelajar terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:29 AM