KHALID Amen (berdiri dua dari kanan) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya.
KHALID Amen (berdiri dua dari kanan) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Anak Allahyarham Mamat Khalid nekad menyambung legasi dan projek filem membabitkan bapa mereka yang belum selesai.

Anak keempatnya, Mohd Khalid Amen, 25, berkata, dia bersama abang-abangnya tidak mahu legasi Allahyarham bapa mereka terkubur begitu saja.

"Langkah pertama adalah dengan menonton karya arwah dari yang pertama sehingga terakhir. Ia akan dijadikan sumber rujukan buat saya. Saya masih hijau dalam bidang pengarahan dan saya harap penggemar filem tempatan tidak membandingkan saya dengan arwah bapa. Beliau adalah legenda, saya bukan siapa-siapa.

"Tidaklah sama tetapi 'bau lauk' itu ada. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Malah, saya juga merancang untuk bertemu rakan-rakan arwah untuk mencari semangat," katanya kepada Harian Metro.

Amen berkata, dia bersyukur apabila Allahyarham ada sedikit-sebanyak mengajar dan memberi pendedahan kepadanya dalam bidang perfileman.

Walaupun berasa gementar dan tidak yakin, namun Amen berjanji untuk melakukan yang terbaik jika diberi peluang meneruskan projek Allahyarham bapanya.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mempelawa Amen untuk meneruskan pembikinan filem berjudul Pasir Salak Pasir Berdarah yang tidak sempat disiapkan Mamat.

Bagaimanapun, Amen berkata, buat masa ini dia mahu membantu memulihkan semangat ibunya, Hasmah Hassan yang masih bersedih selepas pemergian Mamat.

Hasrat untuk meneruskan legasi Mamat akan dilakukan selepas keadaan ibunya bertambah baik.

"Saya belum mempunyai tarikh lagi untuk memulakan penggambaran kerana ingin memastikan keadaan ibu kembali pulih. Emosinya belum stabil lagi, jadi kami perlu memainkan peranan sebagai anak-anak.

Mamat mendirikan rumah tangga dengan Hasmah Hassan 12 April 1987. Selain Amen, mereka dikurniakan empat lagi anak iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam dan Nur Hassanan.

Mamat meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di kafe miliknya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:07 PM