Mamat Khalid.
Mamat Khalid.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dunia seni negara kehilangan sebutir bintang dengan pemergian pengarah filem terkenal Allahyarham Mamat Khalid tengah malam tadi.

Perdana Menteri menerusi catatan di akaun Facebook beliau hari ini berkata, Allahyarham merupakan antara penerbit serta pengarah tersohor tanah air dan disegani dalam dunia perfileman negara.

"Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanah air di atas kehilangan ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Mamat, 58, dilaporkan rebah di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim tengah malam tadi sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.

Antara filem arahannya ialah 'Zombi Kampung Pisang', 'Hantu Kak Limah', 'Rock' dan 'Kala Malam Bulan Mengambang' yang dinobatkan sebagai filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 pada 2008.

Allahyarham atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, merupakan seorang penulis skrip dan pengarah filem selain merupakan adik kepada kartunis terkenal negara Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Berita berkaitan

Mamat Khalid meninggal dunia

Kehilangan bakat tiada pengganti

'Kami membesar bersama...' - Ahmad Faizal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 11:30 AM