MAMAT puas dapat wujudkan Sarang Art Hub untuk penggiat seni tanah air.
MAMAT puas dapat wujudkan Sarang Art Hub untuk penggiat seni tanah air.
Nor Akmar Samudin


Amat mencintai dunia seni membuatkan penerbit dan pengarah filem, Mamat Khalid sanggup mengorbankan wang, masa dan tenaganya membuka tempat tumpuan setempat membabitkan pelbagai cabang seni di Tanjung Malim, Perak.

Galeri seni yang diberi nama Sarang Art Hub (Sarang) itu dibuka November 2015 dan menjadi tempat pertemuan mereka yang mahu menzahirkan bakat seni masing-masing.

Bukan saja muzik, tetapi juga berpuisi, mencanting dan melukis. Selain itu turut diadakan bengkel penulisan skrip dan muzik serta bengkel fotografi dan sinematografi.

Selain itu, mereka bukan saja belajar cara bermain muzik untuk ‘busking’, tetapi bagaimana boleh buat duit dengan bakat yang ada.

Premis yang asalnya Rumah Rehat Tanjung Malim itu juga menjadi tempat kediaman baru buat Mamat dan keluarganya.

Menurut Mamat, dia menemui tempat itu ketika melakukan penggambaran di Tanjung Malim dan sejak tiga tahun lalu Rumah Rehat itu terbiar begitu saja.

“Sebenarnya saya sendiri memang mencari tempat untuk dijadikan galeri seni dan dapati Rumah Rehat itu adalah lokasi terbaik. Ia bukan saja boleh dimanfaatkan masyarakat setempat, tetapi sesiapa saja yang mahu mencari lokasi untuk mengekspresikan seni mereka.

“Tidak dikenakan sebarang bayaran, mereka boleh datang pada bila-bila masa. Pada mulanya tempat ini kurang menjadi tumpuan orang luar sehinggalah saya membuka kafe di sini yang menyediakan pelbagai juadah Timur dan Barat yang disediakan anak saya, Cef Adeem,” katanya.

Galeri seni itu yang mempunyai halaman luas terletak berhampiran landasan kereta api serta kawasan hutan yang menghijau juga dibuka kepada mereka yang mahu mengadakan majlis hari jadi, perjumpaan semula atau apa saja.

“Saya tidak meletakkan harga tertentu, terpulang kepada bajet yang mereka ada,” katanya.

Mamat tidak kira untung

Mamat yang bakal tampil dengan filem terbarunya Rock Bro! pada 27 Oktober ini berkata, pada hujung minggu atau musim perayaan, Sarang menjadi tempat persinggahan mereka yang terperangkap dalam kesesakan ketika dalam perjalanan pergi dan balik ke menuju ke kampung.

Ramadan lalu, tempat ini dibuka kepada aktiviti keagamaan yang dimulakan dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah serta tazkirah. Selain itu, turut diadakan kelas mengaji al-Quran dan pertandingan nasyid.

“Saya menjemput anak-anak yatim di Tanjung Malim untuk bersama-sama berbuka dengan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Mamat juga mendapat kerjasama daripada pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mereka sering mengadakan majlis diskusi dan bengkel seni di Sarang terutama pada hujung minggu.

“Pelajar UPSI juga selalu berkumpul di Sarang. Jika dulu golongan yang meminati seni di Tanjung Malim dan kawasan sekitar tiada tempat mahu dituju dan berkumpul tetapi sekarang Sarang sedia menerima kedatangan mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Mamat menganjurkan program Rockers Bazaar (Dari Rockers Untuk Semua) yang disertai pelbagai band rock antaranya Sarakkas, Maxxxter, Pilgrim, Bawong, 45Minute, Kari Sembilang, Weyjam, The Azam, Xchrome, Enigma, Botts, Zack, Mr Yamashita, SRG Band, Rocktone, Metalzonn, Brotherhood, Kaos dan Puakerysm.

Menurut Mamat, program itu anjuran bersama rakan-rakan dalam Persatuan Rockers yang bertujuan untuk membantu rakan yang memerlukan bantuan.

“Rockers Bazaar diadakan secara percuma dan terbuka kepada orang ramai. Saya meletakkan tabung dan terpulang kepada mereka untuk menyumbang berapa saja seikhlas hati.

“Penganjuran program ini adalah kali ketiga dan saya gembira melihat semua kumpulan rock itu berkumpul dengan tujuan yang sama. Sambil berkongsi bakat dan minat yang sama mereka juga boleh beramal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 10:04 AM