Pervez
Pervez

Quetta: Sebuah mahkamah Pakistan semalam membebaskan bekas presiden negara itu Pervez Msharraf berhubung tuduhan dia bertanggungjawab terhadap pembunuhan seorang pemimpin pemberontak Baluchistan pada 2006.

Ia satu daripada tiga kes yang dihadapi Pervez selepas dia kembali daripada hidup dalam buangan di luar negara.

“Mahkamah menolak semua tuduhan terhadap bekas ketua kerajaan itu dan semua yang dinamakan dalam kes berhubung kematian Nawab Akbar Bugti,” kata Aftab Sherpao, bekas menteri dalam negeri yang turut dinamakan dalam kes itu, kepada media di Quetta, bandar di barat daya Pakistan.

Peguam keluarga Nawab, Suhail Rajput bagaimanapun menyelar keputusan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak adil dan jenaka.

Nawab terbunuh dalam satu operasi tentera pada 2006 sehingga mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara dan meningkatkan pemberontakan di Baluchistan.

Pervez yang merampas kuasa pada 1999 sebelum meletak jawatan pada 2008 kini dikenakan tahanan rumah di Karachi atas beberapa tuduhan jenayah berkait dengan tiga kes, termasuk mengenakan perintah darurat pada 2007 dan tuduhan terlibat dalam pembunuhan pemimpin pembangkang Benazir Bhutto pada tahun sama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 9:19 AM