Polis dan pekerja hospital mengumpulkan mayat mangsa serangan bom di Hospital Awam Quetta. Seramai 67 orang disahkan terbunuh, sebahagian besarnya peguam. - Foto AFP
Polis dan pekerja hospital mengumpulkan mayat mangsa serangan bom di Hospital Awam Quetta. Seramai 67 orang disahkan terbunuh, sebahagian besarnya peguam. - Foto AFP
Agensi

Quetta, Pakistan: Jumlah korban akibat letupan bom di sebuah hospital di bandar raya ini semalam, kini meningkat kepada 67 orang dengan 92 lagi cedera, kata Pengarah Hospital Awam Quetta, Abdul Rehman.

Pegawai kanan polis, Zahoor Ahmed Afridi, berkata bom itu meletup sebaik mayat Presiden Majlis Peguam Baluchistan, Bilal Anwar Kasi, yang mati ditembak sebelum ini, sampai di hospital berkenaan.

Laporan setakat ini menyatakan ramai mangsa adalah peguam yang mengiringi mayatnya serta wartawan yang membuat liputan.

Satu kumpulan serpihan Taliban di Pakistan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu menggunakan penyerang nekad yang meletupkan dirinya.

Dalam satu kenyataan, Ahsanullah Ahsan yang menjadi jurucakap kumpulan militan Jamaat-ul-Ahrar, berkata mereka juga bertanggungjawab membunuh Bilal Anwar sebelum mensasarkan mereka yang mengunjungi mayatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 12:31 AM