Islamabad: Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf mencadangkan Kabul berkongsi kuasa dengan militan Taliban jika mahu keamanan dikembalikan di Afghanistan.

Dalam temubual dengan The Wall Street Journal, Pervez berkata, pelantikan Ashraf Ghani sebagai Presiden Afghanistan pada September tahun lalu membuka ruang kepada penyatuan antara kerajaan dan Taliban.

Katanya, ia juga memungkinkan pemberontak lain berdamai dengan Kabul.

“Ashraf seorang tokoh yang seimbang.

“Saya rasa dia harapan yang baik untuk keamanan,” katanya.

Pervez juga berkata, Pakistan dan India perlu mengelakkan diri daripada terbabit dalam perang proksi.

Bekas jeneral tentera itu berkata, India menyediakan bekalan senjata, latihan serta peralatan untuk pejuang pemisah Balochi - kebanyakannya tinggal di wilayah Balochistan.

Katanya, Amerika Syarikat pula sentiasa gagal mengambil kira kebimbangan Pakistan sehingga memaksa Islamabad bergantung kepada kumpulan militan dalam Afghanistan untuk mempertahankan kepentingannya.

Akhbar itu turut melaporkan, kenyataan Pervez itu menawarkan cadangan baru kepada Pakistan untuk melakukan proses keamanan yang sebelum ini sering dibatasi masalah diplomatik.

Pervez turut mengakui konflik berpanjangan India dan Pakistan adalah perang antara proksi.

“Namun, peranan Islamabad berbaik-baik dengan Taliban dan sekutu militan lain di Afghanistan tindakan sah untuk menghadapi ancaman India di situ,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:45 AM