BUKAN isu sombong, ego atau siapa hebat, ketahui maksud feminisme sebelum melabel sesiapa.
BUKAN isu sombong, ego atau siapa hebat, ketahui maksud feminisme sebelum melabel sesiapa.

SHUHADA MANSOR tahu wujudnya pertubuhan daripada golongan perempuan yang memperjuangkan ‘kuasa wanita’. Bukan untuk membandingkan kehebatan diri atau mencambahkan unsur negatif, tapi ambil tahu maksud lain feminisme yang boleh dilihat dari sisi berbeza.

Ungkapan feminis atau ideologi feminisme sering dikaitkan dengan golongan perempuan yang membenci lelaki atau antilelaki. Ini kerana persepsi biasa yang kita nampak adalah golongan ini berjuang mempertahankan hak wanita dengan memandang lelaki sebagai pesaing.

Namun begitu, tahukah ada terdapat beberapa cabang lain yang menjelaskan maksud ideologi ini? Gen Y kongsi butirannya.

KRONOLOGI IDEA

Feminis pada asalnya adalah sebuah gerakan yang muncul sekitar tahun 1910. Pertubuhan dianggotai semua wanita ini menuntut masyarakat memberi hak kepada golongan perempuan untuk mengundi. Dengan tertubuh­nya asas mula ini, ia dilabel sebagai feminis gelombang pertama dan terawal dikesan.

Seterusnya, gelombang kedua berlarutan pada 1960-an dengan suara wanita menuntut hal lebih luas dalam pekerjaan, upah dan kebebasan dalam tanggungjawab iaitu tidak terhad dengan hanya menguruskan rumah tangga.

Gelombang ketiga memperjuangkan hak lebih kompleks seperti kekerasan dalam percintaan dan rumah tangga dan meminta kajian menyeluruh diadakan dalam isu eksploitasi tubuh wanita sebagai objek pemasaran dalam media.

MAHU SAMA RATA

Jangan terkejut jika aliran feminisme ini mempunyai pengikut tegar hingga ada antara mereka memegang kukuh prinsip hingga ia dijadikan seperti agama.

Penulis terkenal Nigeria, Chimamanda Ngozi Adichie berpendapat feminisme bukannya ideologi yang salah dan perlu dipandang negatif oleh lelaki .

“Feminis itu adalah orang yang percaya adanya kesamarataan dalam politik, sosial, ekonomi bagi lelaki dan wanita. Contoh paling mudah adalah hak untuk belajar yang masih terhad bagi perempuan di sesetengah negara di dunia.

“Lelaki akan diberi kelebihan untuk belajar berbanding perempuan bagi keluarga yang miskin kerana ada antara kita masih memegang ‘mitos’ bahawa perempuan pada akhirnya akan menjadi suri rumah dalam keluarga.

“Padahal isu mengendalikan rumah tangga itu boleh dilakukan oleh lelaki dan wanita,” katanya.

DILABEL FEMINIS KERANA TIADA PASANGAN

Masyarakat sering salah tanggapan golongan feminis itu bererti membenci lelaki dan lebih ekstrem apabila akhirnya perempuan terbabit akan menjadi lesbian. Mungkin kita tidak terlalu serius dalam melihat isu ini. Faktor peribadi seperti gila kerja, belum bertemu jodoh tidak dilihat sebagai sebab seseorang belum menemui pasangan. Bahkan, jika seseorang wanita itu berada pada kedudukan tinggi dalam jawatan dan belum berpasangan, pasti ada wujud persepsi feminisme terhadapnya.

DIIKTIRAF NEGARA

Perjuangan ideologi ini ternyata tidak salah. Mungkin ada kumpulan yang ekstrem, tetapi pada masa kini, ia lebih kepada memperjuangkan hak yang sepatutnya.

Persidangan Wanita Sedunia Kali Keempat di Beijing pada 1995 merancakkan lagi aktiviti feminisme di Malaysia.

Golongan feminis yang pertama berjaya memperluaskan idealismenya apabila pendekatan gender sama rata sudah semakin mendapat perhatian di sektor kerajaan dan swasta. Di universiti, kursus mengenai pendidikan gender semakin meluas contohnya di Universiti Malaya, di bawah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Pengaruh idealisme ini tidak kurang hebatnya dengan terbukti apabila kerajaan bersedia memperuntukkan RM50 juta kepada NGO dalam Belanjawan 1998 khususnya kepada NGO wanita. Pertubuhan NGO yang aktif seperti NCWO, Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) dan Women’s Institute of Management (WIM) diperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk melaksanakan aktiviti mereka.

LELAKI FEMINIS?

Hipster antara yang menjadi ikutan popular bagi remaja kini, tapi jangan terkejut kerana sekarang, bukan hanya gadis yang mengakui feminis, tetapi ada juga lelaki!

Selebriti Hollywood terkenal, Emma Watson melaungkan kempennya iaitu #HeForShe membuatkan ramai lelaki lebih terbuka untuk mengakui diri feminin. Pelakon yang juga selebritii Hollywood, Joseph Gordon Levitt turut mengakui dirinya membesar sebagai feminis. Ini kerana ibunya sering mengingatkan jangan terus terperangkap dengan ideologi media yang menjadikan wanita sebagai objek pemasaran. Jika bukan kita, siapa lagi yang menghentikan elemen eksploitasi jantina dalam masyarakat?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 12:30 PM