MENGGESA individu yang menjadi mangsa seksual khasnya berani mempertahankan hak mereka. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MENGGESA individu yang menjadi mangsa seksual khasnya berani mempertahankan hak mereka. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafiz Ithnin

"ADA aduan yang kami terima, bapa rogol anak kemudian si perogol itu pula merogol ahli keluarga mereka yang lain.

"Mangsa berjumpa kami, tetapi akhirnya aduan itu hanya senyap begitu sahaja kerana si mangsa takut hilang tempat bergantung," kata wanita berusia 33 tahun itu.

Baginya, kesedaran wanita apabila hak mereka dicabuli terutama apabila menjadi mangsa serangan seksual perlu dipertingkatkan kerana ada segelintir hanya menjadikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperkasakan nasib wanita seperti dikemudinya hanya sebagai tempat meluahkan perasaan dan tidak berani untuk bertindak!

Justeru, susuk badan yang menjadi penghias muka depan Wanita Metro (WM) kali ini adalah Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pembangunan Wanita dan Gadis atau dikenali sebagai WOMEN:girl, Izza Izelan.

Pemilik Sarjana Education and International Development dari Institute of Education, UCL (University College London) itu sebenarnya baru sahaja memegang jawatan itu sejak Mac lalu.

AMAT mementingkan institusi kekeluargaan dalam perjuangan WOMEN:girl. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AMAT mementingkan institusi kekeluargaan dalam perjuangan WOMEN:girl. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Baginya, berada di posisi tertinggi dalam NGO yang dilihat sinonim dengan memperjuangkan nasib wanita itu bukan mudah kerana setiap hari pasti ada sahaja panggilan yang diterima kakitangannya mengenai aduan berkaitan salah laku masyarakat kepada kaum hawa.

Tidak terkecuali, Izza juga memaklumkan WOMEN:girl turut menjadi tempat segelintir kaum Adam yang mengadukan nasib mereka menjadi mangsa buli dalam masyarakat.

Ertinya, NGO yang dikemudinya bukan sekadar untuk wanita dan gadis, tetapi turut memperjuangkan nasib anggota masyarakat yang dianiaya tanpa ada sempadan jantina.

Pagi itu, dalam satu sesi fotografi yang dilakukan penulis bersama Izza, bertemakan 'perjuangan dalam lembut.'

Sengaja penulis membiarkannya beraksi bebas di hadapan lensa kamera jurufoto kami, Mohamad Shahril Badri Saali untuk menunjukkan ekspresi bebas dan berani, tetapi tidak melanggar norma dalam masyarakat. Itu penting!

Menyarung beberapa helaian busana milik pereka fesyen, Fyrose Zainuddin ternyata wanita muda itu bijak beraksi.

Mana tidaknya, sebelum menerajui WOMEN:girl, Izza adalah personaliti televisyen swasta yang mengalas tugas sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran selama tujuh tahun.

IZZA terbabit dalam kerja amal sejak di bangku sekolah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
IZZA terbabit dalam kerja amal sejak di bangku sekolah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Kenapa tinggalkan dunia penyiaran yang tampak glamor di hadapan kaca televisyen untuk menjadi NGO? Bukankah lebih selesa hanya berada di posisi seperti itu tanpa perlu memikirkan 1001 masalah lain?" soalan tembak penulis sedikit berbau provokasi kepadanya.

Jawabnya, sejak di bangku sekolah aktiviti kerja amal bersama masyarakat sudah dilakukannya.

Setiap kali sambutan hari lahirnya, wajib untuk bertandang ke destinasi yang menjadi tumpuan golongan kurang bernasib baik terutama kanak-kanak yang hidup terbuang di sekitar ibu negara.

"Aktiviti seperti itu menjadikan saya bermuhasabah diri apabila dapat melihat sendiri terdapatnya golongan yang tidak bernasib baik terutama kanak-kanak yang tidak berdosa, tetapi menjadi mangsa kerana institusi kekeluargaan yang porak-peranda.

"Setiap hari kita berdandan kemas, berbau wangi atau membimbit tas bergaya ke pejabat serta bergurau senda dengan ahli keluarga yang begitu harmoni. Hakikatnya, adakah wajar golongan yang tidak bernasib baik ini hanya menjadi pemerhati dan bermimpi?" jelasnya penuh maksud tersurat.

Bekas guru bahasa Inggeris itu juga memberitahu, memandangkan aktiviti kemasyarakatan memberi kepuasan kepada dirinya, sebaik sahaja pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajian sarjana di Eropah, dia tidak menoleh ke belakang untuk melakukan sesuatu yang dapat memberi kepuasan dalam hidupnya dengan menyertai pertubuhan itu.

Katanya, secara jujur WOMEN:girl memperjuangkan tanggungjawab setiap individu dalam institusi kekeluargaan kerana keharmonian keluarga adalah tunas penting dalam membentuk sistem masyarakat yang positif.

"Disebabkan itu, saya amat menitikberatkan tanggungjawab individu tanpa perlu ada sempadan jantina di dalam keluarga terutama dari segi hak bersuara, pendidikan dan hormat antara satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 7:01 AM