Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kira-kira tinggal dua minggu lagi akan berakhirnya tahun 2016 yang dilihat sebagai tahun yang mencabar dalam perkembangan ekonomi dunia yang memberi kesan langsung kepada pertumbuhan positif ekonomi negara.

Perkembangan ekonomi domestik menjadi petanda aras penting untuk mengukur kemajuan sesuatu industri dan begitu juga dengan industri hartanah negara yang dilaporkan menguncup 39 peratus dari segi penjualan hartanah secara keseluruhan pada separuh pertama tahun ini.

Penganalisis hartanah, Tuan Bri Hashim berkata, pihaknya melihat secara keseluruhan industri itu pada tahun ini bergerak perlahan disebabkan empat cabaran utama iaitu kesukaran pembeli mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank, harga rumah yang masih dianggap mahal, kejatuhan nilai ringgit dan kesan projek Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) yang menyebabkan harga rumah di kawasan Lembah Klang meningkat.

Beliau berkata, kesan langsung prestasi ekonomi yang mencabar sepanjang tahun ini mengakibatkan penjualan dalam sektor kediaman menurun dan ia juga adalah masa terbaik kepada pembeli yang mempunyai kewangan kukuh untuk membeli kerana pemaju hartanah ketika ini menawarkan lebih banyak insentif.

“Jika kita lihat pada kenaikan penjualan produk hartanah sebelum ini meningkat pada kadar sekitar 10 peratus setahun tetapi pada tahun ini, saya melihat ia lebih rendah sekitar lapan peratus memandangkan pemaju sukar untuk menjual produk hartanah mereka.

“Begitu juga dengan produk hartanah dalam segmen komersial yang mana pembeli dalam kalangan golongan peniaga lebih berhati-hati untuk membeli aset baru yang mana mereka bersikap tunggu dan lihat terhadap perkembangan ekonomi semasa,” katanya.

Bri berkata, produk hartanah lain seperti tanah masih mendapat perhatian pembeli sama ada golongan pemaju mahupun persendirian dan ia tidak menunjukkan sebarang reaksi penurunan harga walaupun berlaku penguncupan jualan produk hartanah lain.

Katanya, orang ramai yang tidak mempunyai kewangan mencukupi bagi membeli kediaman tahun ini dinasihatkan untuk menyewa memandangkan harga sewaan tidak meningkat bagi beberapa lokasi yang tidak mempunyai projek pengangkutan awam baru.

“Walau bagaimanapun, tahun ini adalah waktu yang cukup baik kepada pelabur untuk melaburkan wang mereka membeli produk hartanah baru disebabkan terdapat banyak insentif daripada pemaju, tetapi mereka perlu memastikan kredit pembiayaan berada di tahap baik.

“Ini kerana sepanjang 2016, isu kesukaran mendapat pembiayaan pembelian kediaman daripada institusi kewangan paling mendapat perhatian yang mana bagi mereka yang ingin membeli kediaman sama ada pembeli peribadi atau pelabur, rekod pembiayaan di bank perlu berada di tahap yang baik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai unjuran hartanah pada tahun depan, katanya, buat masa ini sukar untuk meramalkan keadaan pasaran memandangkan ia bergantung kepada prestasi ekonomi semasa yang memberi kesan terus kepada perkembangan semua industri termasuk hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:17 AM