PASARAN hartanah domestik diramal perlahan pada 2016.
PASARAN hartanah domestik diramal perlahan pada 2016.
Oleh Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Industri hartanah tempatan diunjur akan mengalami pertumbuhan yang mendatar dan mencabar pada tahun ini selepas melalui beberapa fasa lonjakan pada 2011 hingga 2013 yang menyaksikan peningkatan harga rumah membabitkan pelbagai jenis kediaman.

Trend berkenaan dijangka berlarutan sepanjang 2016 dengan jangkaan pemulihan yang akan berlaku dalam senario semasa sekitar 2017 dan 2018 menerusi peningkatan ekonomi semasa negara yang akan kembali pulih.

Walaupun kerajaan menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan kukuh pada empat hingga lima peratus pada tahun lalu, pemain industri berpendapat prestasi harga sektor perumahan pada tahun ini tidak berubah atau menunjukkan pertumbuhan yang minimum.

Sektor berkenaan bagaimanapun akan dinilai dari semasa ke semasa yang turut didorong oleh pelbagai pemangkin utamanya seperti lokasi, jenis hartanah dan harga yang ditawarkan oleh pihak pemaju.

Pengurus Negara PropertyGuru, Sheldon Fernandez berkata, Malaysia masih lagi mempunyai asas kukuh dengan wujudnya pelbagai pelaburan infrakstruktur dan aktiviti pendigitalan yang semakin rancak dilakukan khusus buat industri hartanah dan pembinaan domestik.

“Bagaimanapun, peluang untuk memiliki hartanah juga dilihat semakin tipis berikutan kenaikan kos sara hidup dan kesukaran bagi mendapatkan kelulusan pembiayaan perumahan sekalipun ekonomi semakin stabil dan mengukuh.

“Perkara berkenaan sedikit sebanyak turut menjadi penyumbang terhadap pertumbuhan sektor hartanah yang akan mendatar dan perlahan pada tahun ini namun kita berharap ia akan kembali pulih,” katanya di sini.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh PropertyGuru untuk tempoh sepanjang tahun lalu, mendapati tahun 2016 dijangka mengundang lebih banyak permintaan sebenar terhadap pasaran hartanah.

Selain itu, dengan harga hartanah yang lebih tinggi untuk setiap kaki persegi, golongan pemaju akan tampil memperkenalkan projek pembangunan di pusat bandar dan kawasan urban lain dengan unit yang lebih kecil dan berkeluasan sekitar 41.8 hingga 78.97 meter persegi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif United Malayan Land Bhd (UMLand), Datuk Charlie Chia Liu Meng berkata, sekalipun pasaran hartanah domestik diramalkan perlahan pada 2016 namun permintaan bagi perumahan akan sentiasa ada.

Katanya, permintaan wujud disebabkan kini ramai yang mempunyai kesedaran untuk memiliki rumah pertama terutamanya mereka yang baru tamat pengajian di universiti dan baru memulakan pekerjaan.

“Ia adalah sektor yang mempunyai prospek luas namun perlu dilakukan sesuatu agar ia tidak terus menunjukkan trend yang mendatar atau terus perlahan kerana ia akan merugikan pelbagai pihak.

“Selain itu, isu yang dikaitkan dengan pengenalan rejim cukai baru iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat sama sekali bukan punca utama industri mengalami ketidaktentuan pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 6:17 AM