Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu 26 murid dan pelajar dari Kampung Bemban di sini menyeberangi Sungai Triang menaiki bot bagi memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Ia berikutan jambatan yang menghubungkan kampung itu dengan Kampung Jerang untuk membolehkan murid dan pelajar ke sekolah berhampiran musnah akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Senawang Leftenan Kolonel Isma Zaini Ismail berkata, pihaknya memberi bantuan pengangkutan pergi dan balik bagi memudahkan murid serta pelajar itu ke sekolah masing-masing.

"Anggota dari Batalion Ke-15 RAMD ditempatkan di sini sejak 21 Disember lalu bagi memudahkan penduduk Kampung Bemban berhubung ke Kampung Jerang untuk mendapatkan beberapa kemudahan lain.

"Bagi sesi persekolahan yang bermula hari ini, kami bersiap sedia seawal 6.15 pagi untuk menghantar murid dan pelajar ke sekolah diikuti waktu pulang pada tengah hari nanti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

ATM menyediakan bot untuk membantu murid dan pelajar ke sekolah berikutan jambatan ke kampung itu runtuh ketika banjir. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ATM menyediakan bot untuk membantu murid dan pelajar ke sekolah berikutan jambatan ke kampung itu runtuh ketika banjir. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 12:11 PM