ROBOT antara IoT.
ROBOT antara IoT.
PENGUMUMAN 5G di luar negara memberi tekanan kepada industri komunikasi di negara ini.
PENGUMUMAN 5G di luar negara memberi tekanan kepada industri komunikasi di negara ini.
MWC jadi platform tonjol teknologi mudah alih.
MWC jadi platform tonjol teknologi mudah alih.
HANS VESTBERG.
HANS VESTBERG.
BRIAN RZANICH.
BRIAN RZANICH.
PERANTI  pintar kuasai dunia.
PERANTI pintar kuasai dunia.
KEBANYAKAN gajet perlu sambungan.
KEBANYAKAN gajet perlu sambungan.
Oleh Afiq Hanif


Rangkaian mudah alih generasi akan datang dan Internet untuk segalanya (IoT) menguasai Kongres Mudah Alih Dunia (MWC) 2016 yang berlangsung di Barcelona, baru -baru ini.

Kebanyakan industri mudah alih kelihatan agak bersedia dengan rangkaian baru yang menggariskan 5G sebagai pengubah landskap, namun masih belum bersedia melancarkannya secara besar-besaran dengan masih bergantung kepada keupayaan 4G sekarang.

Nokia antara syarikat pertama yang mencuba nasib memasarkan rangkaian 5G mereka terutama selepas syarikat terbabit bersedia dua kali ganda berikutan pengambilalihan Alcatel-Lucent.

Nokia bersedia dengan melaksanakan sistem rangkaian 5G yang berhubung dengan IoT sebagai teknologi masa depan.

“Kami merancang untuk meningkatkan pelaburan secara mendadak dalam 5G tahun ini dan menyediakan inovasi besar-besaran,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nokia, Rajeev Suri.

Suri mengumumkan produk 5G tersedia dengan akses radio AirScale baru untuk menggantikan stesen pangkalan Flexi yang popular.

Pengambilalihan Nokia terhadap Nakina pula, sebuah syarikat perisian Kanada yang pakar dalam mencegah, mengenal pasti dan menghapuskan ancaman keselamatan memastikan ia bersedia dengan baik.

Selain itu, Nokia membuka syarikat dana pelaburan berkaitan IoT berjumlah AS$350 juta melalui firma luarnya, Nokia Growth Partners.

“Kami berada di depan dalam membuat 5G dan membolehkan kapasiti serta sambungan besar-besaran yang sebahagian daripada visi kami,” kata Suri.

Menurut Suri, rangkaian 5G perlu dilancarkan dengan pantas kerana kepentingan IoT yang memaksa penggunaannya.

“Sekiranya kita sudah mengetahui 5G boleh membantu menyelamatkan nyawa, memperbaiki persekitaran dan menjadikan kehidupan kita lebih baik, kita perlu bergerak lebih laju,” katanya.

Dengan pengumuman itu, Nokia sedang mengambil langkah konkrit untuk menguatkan keterajuan 5G dan menunjukkan bagaimana ia akan memacu masa depan.

Beliau berkata, gabungan syarikat itu menyasarkan banyak peluang secara bersilang yang berbeza dan membuat tawaran bersama untuk pelanggan di seluruh dunia.

Gabungan Nokia dan Alcatel-Lucent berupaya menawarkan inovasi baru apabila gabungan kedua-duanya bermakna lebih 40,000 penyelidik dan saintis rangkaian mampu memberi yang terbaik kepada dunia.

Selepas pengumuman Nokia itu, Ericsson dan Intel juga mendedahkan rancangan mereka untuk teknologi mudah alih yang baru.

Pembekal perkakasan tanpa wayar Ericsson berkata, percubaan radio 5G akan bermula tahun ini tetapi ia disasarkan lewat dengan rangkaian penuh menjelang 2020.

Sementara itu, Intel, mengumumkan produk dan perkongsian asas yang berupaya beroperasi lebih pantas dan rangkaian yang lebih cekap perlu untuk masa depan rangkaian dan IoT.

“Berbilion peranti semakin pintar dan terhubung, perkhidmatan data peribadi yang banyak dan aplikasi perkomputeran ‘cloud’ berupaya memacu memerlukan rangkaian lebih pintar dan kukuh,” kata Naib Presiden dan Pengurus Besar Intel Komunikasi dan Kumpulan Peranti, Aicha Evans.

Ketua Eksekutif Ericsson, Hans Vestberg menjangkakan lebih 150 juta pengguna manakala rangkaian pula siap dalam tempoh lima tahun.

Teknologi mudah alih baru juga antara ayat yang sering dilontarkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

“Saya gesa rangkaian tidak memberi tumpuan semata-mata kepada sambungan yang lebih cepat bagi mereka yang sudah mempunyai akses Internet,” katanya.

Zuckerberg agak kecewa apabila tumpuan Internet hanya untuk golongan yang sudah memilikinya saja.

“Salah satu perkara yang saya dengar di MWC tahun ini secara peribadi sedikit mengecewakan apabila 4G hanya memberi pengalaman yang baik dan 5G pula adalah untuk menghubungkan peranti dengan Internet,” katanya.

Intel khususnya menggunakan MWC untuk menumpukan platform 5G generasi akan datang tanpa wayar dengan kelajuan sehingga 450Mbps yang memudahkan peranti berhubung antara satu sama lain pada masa depan.

Dengan pertumbuhan peranti boleh pakai dan peranti pintar lain, IoT dan peranti yang bersambung akan membentangkan cabaran baru untuk rangkaian mudah alih yang mana kelajuan pemindahan data tidak akan menjadi satu-satunya kriteria.

Keupayaan prasarana komunikasi tanpa wayar untuk menyokong jumlah ini yang dijangka akan mencecah sehingga 50 bilion peranti menjelang 2020.

Dengan kepakaran dalam perkomputeran dan cip fabrikasi, syarikat itu sedang berusaha secara aktif bekerjasama dengan beberapa syarikat teknologi lain termasuk Huawei, Nokia dan Verizon untuk membantu mempercepatkan pembangunan teknologi generasi akan datang ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Brian Krzanich menyatakan, rangkaian 5G boleh disediakan seawal 2018.

“Operator selular lain yang terbabit secara aktif dalam pembangunan 5G termasuk Vodafone, AT&T, Deutsche Telecom, NTT DoCoMo dan SK Telecom.

“Membangunkan portfolio produk tanpa wayar yang sedia ada, modem baru dan sistem pada cip (SoC) akan menyediakan penyelesaian penyambungan yang mantap untuk IoT, peranti mudah alih dan komputer peribadi ke arah 5G,” kata Evans.

Intel mengumumkan barisan baru perkakasan komunikasi termasuk modem dan SoC 5G yang bertujuan untuk memudahkan prototaip awal rangkaian baru menjadi pengeluar perkakasan boleh bersedia untuk pembangunan.

Syarikat terbabit mempunyai satu set penyelesaian 5G yang disasarkan kepada peranti yang berhubung seperti kenderaan, peranti boleh pakai, peranti mudah alih dan komputer.

Malaysia juga menerima tempias rangkaian 5G jika ia benar-benar terlaksana apabila industri telekomunikasi di negara ini biasanya menerima baik perubahan rangkaian yang berupaya mengubah kaedah kita berkomunikasi.

Sehingga kini, tiada halangan pelaksanaan 5G sekiranya ia dibawa masuk ke Malaysia, cuma tumpuan sekarang lebih terjurus kepada 4G yang baru saja bertapak.

Syarikat telekomunikasi perlu memastikan 4G benar-benar memuaskan terlebih dulu sebelum menggandakan rangkaian terbabit.

Tumpuan 4G harus lebih meluas dengan capaian kepada pengguna di negara ini perlu lebih baik dan bukan sekadar iklan hebat semata-mata.

Pengumuman 5G di luar negara memberi tekanan kepada industri komunikasi di negara ini untuk lebih bersedia lebih mantap dan bersedia mendengar masalah pengguna.

Sebaik dunia mencapai 5G, tanda aras 4G akan menjadi lebih tinggi yang memerlukan capaian lebih baik, bersepadu dan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 12:12 PM