KOH turun ke Malaysia melancarkan fon siri Galaxy A.
KOH turun ke Malaysia melancarkan fon siri Galaxy A.
Afiq Hanif


ANTARA punca kurangnya keberkesanan Internet untuk segalanya (IoT) hingga kini adalah sistem rangkaian yang belum laju untuk mengoperasikannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian IT dan Komunikasi Mudah Alih Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) DJ Koh, berkata IoT memerlukan rangkaian yang pantas dan bukan sekadar isyarat gelombang radio yang dimiliki sekarang.

“Meskipun IoT sudah diperkatakan sejak beberapa tahun lalu, pelaksanaan­nya masih kurang berikutan kekangan kelajuan Internet,” katanya.

Katanya, dalam mendepani IoT, ia akan menghubungkan manusia, rumah, pejabat, kilang dan banyak lagi yang memerlukan sambungan pantas secara berterusan.

“Masa pendam (time latency) untuk 4G sekarang adalah 15 milisaat tapi kita memerlukan lebih kepantasan untuk melaksanakan IoT yang menghubungkan mesin ke mesin tanpa membawa sebarang masalah,” katanya.

Samsung sendiri mempunyai produk konsumer berteknologi pintar yang menggunakan jaringan Internet dan IoT adalah dalam usaha memperkukuh­kan kedudukannya di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia berikutan rantau berkenaan mempunyai potensi besar dalam pasaran pada masa depan.

Samsung memperkenalkan pelbagai segmen produk konsumer pintar IoT antaranya televisyen, mesin basuh, peti sejuk, pendingin hawa, sistem audio, telefon pintar dan alat pencetak.

“Inovasi reka bentuk terkini mengikut keperluan pengguna menjadikan produk pintar tarikan kepada pengguna selain fungsinya dan perkembangan ini memberi kesan kepada rantau Asia ini,” katanya.

Beliau berkata, produk yang bersifat interaksi juga menjadi perkembangan terkini dalam memba­ngunkan produk kerana ia penting bagi memudahkan pengguna dan ia bukan tertumpu kepada produk seperti televisyen saja tetapi diperluaskan kepada penggunaan mesin basuh.

“Memahami kehendak pelanggan dan perubahan gaya hidup adalah penting bagi membolehkan produk diterima oleh pasaran serta pembangunan sistem Internet pada hari ini dikaitkan dengan produk keperluan manusia seperti mesin basuh, televisyen dan pendingin hawa yang boleh dikawal dari jarak jauh.

Sebab itu, menurut Koh, penawaran rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) dijangka menguntungkan pengguna dan pelbagai industri termasuk paling besar, IoT.

Beliau berkata, pengenalan kepada teknologi 5G, iaitu kenaikan taraf daripada rangkaian sedia ada akan meningkatkan inovasi dan Samsung melabur banyak dalam rangakaian terbabit.

IOT menghubungkan segala-galanya termasuk TV.
IOT menghubungkan segala-galanya termasuk TV.

“Namun, kita perlu faham apa yang ditawarkan rangkaian 5G.

“Teknologi 5G adalah kenaikan taraf daripada 4G dan LTE maka sudah tentulah ia akan menjadikan teknologi mudah alih lebih pintar, pantas dan luas,” katanya kepada ITt@Metro dalam temu ramah media tertutup.

Beliau berkata, Samsung agresif dalam memperkenalkan teknologi baru itu menjelang 2020 selain merubah gaya hidup pengguna.

“Terdapat trend inovasi yang memacu dunia sekarang, antaranya data besar yang berlaku apabila ledakan peranti IoT, kecerdasan pintar (AI) dan objek yang berkaitan Internet memperluaskan jumlah data yang kini dihasilkan dunia,” katanya.

“Faktor kedua membabitkan perkomputeran ‘cloud’ di mana-mana dan lebih berkuasa juga kini semakin berkembang dan Samsung fokus ke arah terbabit,” katanya.

Koh turut mendedahkan, telefon boleh lipat (foldable) yang diperkenalkan beliau sebelum ini di peringkat yang sudah bersedia untuk dikomersilkan.

“Kami masih mengkaji dan apa yang saya boleh katakan, telefon boleh lipat ini tidak jauh dari kita,” katanya.

Beliau turut berkata, keupayaan AI adalah penemuan dalam algoritma perisian dan pembelajaran mesin (machine learning) yang dapat mengenal pasti corak yang canggih tersirat dalam data itu sendiri.

Sempena lawatan beliau ke Kuala Lumpur, Koh memperkenalkan model telefon pertengahan, Galaxy A9 dengan empat kamera yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

Uniknya, telefon pintar itu menampilkan tiga kamera belakang, selain memiliki reka bentuk menarik dan ciri-ciri penting bagi kegunaan dan kemudahan pengguna.

Kamera terbabit mempunyai lensa 24MP, 10MP, 8MP manakala kamera depan 24MP.

Ia merakam gambar menggunakan lensa kamera belakang Galaxy A9 ultra lebar 120 darjah 8MP yang mampu memberikan sudut pandang sama de­ngan mata manus ia.

Galaxy A9 terdapat dalam empat warna menarik untuk disesuaikan dengan gaya peribadi anda iaitu biru, hitam, emas dan merah jambu.

Direka untuk membuatkan hidup anda lebih mudah, Galaxy A7 didatangkan bersama Bixby, Samsung Pay dan Samsung Health.

Ia mempunyai skrin 6.3 inci Full HD+ Super AMOLED. Telefon ini datang dengan RAM 6GB serta ROM 128GB.

Satu model lagi, Samsung Galaxy A7 bagaimanapun akan mula dijual pada harga RM1,299.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 7:14 AM