CERNUDA (kiri) dan Zamzamzairani ketika bertemu di Amerika Syarikat.
CERNUDA (kiri) dan Zamzamzairani ketika bertemu di Amerika Syarikat.

Microsoft dan Telekom Malaysia (TM) mengumumkan kerjasama untuk membawa lebih banyak pengalaman digital berasaskan perkomputeran ‘cloud’ bagi rakyat Malaysia yang akan menggabungkan kekuatan antara kedua-dua syarikat ini untuk memberi gabungan perkhidmatan unik kepada pelanggan.

Kerjasama strategik diumumkan ketika pertemuan yang diikuti pertukaran dokumen di antara kedua-dua syarikat di Redmond, Amerika Syarikat.

Ia ditandatangani Presiden Microsoft Asia Pasifik, Cesar Cernuda bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Corporation, Satya Nadella.

TM dan Microsoft sebelum ini bekerjasama menawarkan pelbagai penyelesaian produktiviti seperti Office-in-a-Box dengan Microsoft Office 365, UniFi dengan Microsoft Office 365 serta program Good Bye XP, Good Buy Windows 8.

Kerjasama strategik berterusan ini bakal memberikan lebih nilai kepada pelanggan di semua tahap, daripada pengguna di rumah ke syarikat multinasional.

Antara tawaran dibincangkan untuk pengguna termasuk produk TM seperti Streamyx dan Unifi yang boleh dipakejkan dengan produk Microsoft seperti Surface, Lumia dan Microsoft Office 365 Home.

Kerjasama ini juga dijangka membawakan lebih banyak perkhidmatan untuk bandar pintar dengan strategi Internet untuk segalanya (IOT) yang dikembangkan untuk kegunaan umum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 10:17 AM