PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo meraikan gol ketiganya bersama Nemanja Matic. FOTO REUTERS
PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo meraikan gol ketiganya bersama Nemanja Matic. FOTO REUTERS
Reuters

Manchester: Jaringan hatrik Cristiano Ronaldo yang juga gol ke-50nya di Manchester United memastikan kemenangan 3-2 ke atas Norwich City, hari ini, pada ketika penyokong melakukan protes sebelum sepak mula Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.

Berikutan Tottenham Hotspur tewas 0-1 di tempat sendiri di tangan Brighton & Hove Albion dalam perlawanan awal, United menghidupkan peluang ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Eropah hasil kemenangan ke atas pasukan tercorot liga itu.

Dua gol Ronaldo awal babak pertama dijangkakan akan memberikan kemenangan selesa kepada pasukan tuan rumah, pada ketika Norwich dilihat sukar bersaing.

Bagaimanapun, jaringan Kieran Dowell pada masa kecederaan sebelum rehat menghidupkan peluang sebelum penyerang Finland, Teemu Pukki tujuh minit babak kedua menyamakan kedudukan dan mengejutkan penyokong di Old Trafford.

Penyokong yang melakukan protes terhadap pemilik kelab sebelum perlawanan kemudian menyanyi 'anda tidak layak memakai baju ini' pada ketika pasukan mereka dipermainkan Norwich.

Pemain tengah Perancis, Paul Pogba dicemuh penyokong sendiri ketika digantikan sebelum Ronaldo melengkapkan hatrik 14 minit sebelum wisel penamat, sekali gus menyelamatkan maruah United sekali lagi.

Kemenangan itu menyaksikan United memintas Arsenal, yang tewas 0-1 di Southampton, untuk tempat kelima dengan 54 mata daripada 32 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 12:25 AM