ASKAR Afghanistan tiba di Helmand.
ASKAR Afghanistan tiba di Helmand.

Kabul: Timbalan Gabenor Helmand Mohammad Jan Rasulyar berkata, wilayah selatan Afghanistan itu mungkin jatuh ke tangan Taliban selepas pertempuran sengit selama beberapa bulan.

Mohammad berkata, 90 anggota keselamatan terbunuh sepanjang dua hari lalu.

Menurutnya, kecuali Presiden Ashraf Ghani bertindak segera, wilayah itu yang terkenal kerana pengeluaran candu akan ditawan Taliban.

Amaran itu sama dengan yang berlaku di Kunduz, bandar di utara Afghanistan lewat September lalu apabila Taliban berjaya menawannya selama beberapa hari sebelum tentera kerajaan menguasainya semula.

Kejatuhan Helmand akan memberi tamparan kepada kerajaan yang mendakwa tentera negara itu sudah berjaya mengawal keselamatan tanpa bantuan tentera asing.

Jurucakap tentera Mohammad rasool Zazai berkata, dia yakin Helmand tidak akan jatuh ke tangan Taliban.

Ketua polis Abdul Rahman Sarjang juga yakin wilayah berkenaan akan berjaya dipertahankan memandangkan ramai anggota keselamatan berada di wilayah berkenaan.

Dengan tentera dan polis terjejas teruk akibat tindakan sebahagian anggotanya berpaling tadah, Taliban berjaya menawan beberapa daerah di daerah utara Helmand. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:07 AM