AFP

Kabul: Sesi persekolahan baharu Afghanistan sudah bermula pada Selasa lalu, namun tiada pelajar menghadirinya.

Ini kerana kebanyakannya tidak mengetahui permulaan sesi baharu itu, malah ratusan ribu pelajar perempuan dihalang menghadiri persekolahan.

Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang mana pelajar perempuan dilarang pergi ke sekolah menengah.

Kerajaan Taliban mengenakan kawalan ketat terhadap Islam sejak berkuasa pada Ogos 2021 susulan pengunduran tentera asing pimpinan Amerika Syarikat, yang menyokong kerajaan terdahulu.

Kementerian pendidikan tidak membuat pengumuman terbuka mengenai pembukaan semula sekolah, beberapa guru dan pegawai memberitahu AFP.

"Surat yang dikeluarkan menteri pendidikan diberikan kepada kami oleh pengetua untuk membuka semula sekolah hari ini (Selasa), tetapi kerana tiada pengumuman dibuat tiada pelajar yang datang," kata Mohammad Osman Atayi, seorang guru di Sekolah Menengah Lelaki Saidal Naseri di Kabul.

LELAKI Afghanistan berdiri di pintu masuk sebuah sekolah di Kabul. FOTO AFP
LELAKI Afghanistan berdiri di pintu masuk sebuah sekolah di Kabul. FOTO AFP

Wartawan AFP meninjau tujuh sekolah di Kabul dan melihat hanya beberapa guru dan pelajar tiba tetapi tiada kelas pembelajaran diadakan.

Situasi sama turut dialami di sekolah di wilayah termasuk Herat, Kunduz, Ghazni dan Badakhshan.

Permulaan tahun akademik baharu pada Selasa bertepatan dengan Nowruz yang disambut secara meluas di Afghanistan, sebelum Taliban kembali berkuasa tetapi kini tidak diiktiraf pemerintah baharu negara itu.

Pelajar, Sadaf Haidari, 15, berkata tertekan dan patah hati selepas Taliban merampas segala-galanya daripada mereka.

Larangan pendidikan menengah kepada pelajar perempuan berkuat kuasa pada Mac tahun lalu, beberapa jam selepas kementerian pendidikan membuka semula sekolah.

Pemimpin Taliban yang juga melarang wanita daripada pendidikan universiti, berulang kali mendakwa mereka akan membuka semula sekolah menengah untuk perempuan apabila syarat dipenuhi, daripada mendapatkan pembiayaan kepada mengubah suai sukatan pelajaran mengikut garis Islam.

Masyarakat antarabangsa menjadikan hak pendidikan untuk wanita sebagai syarat utama dalam rundingan mengenai bantuan dan pengiktirafan kerajaan Taliban.

Tiada negara secara rasmi mengiktiraf Taliban sebagai pemerintah sah Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:09 PM