PENDUDUK menutup jenazah mangsa   yang terbunuh dalam serangan udara tentera AS di belakang sebuah trak. FOTO AFP
PENDUDUK menutup jenazah mangsa yang terbunuh dalam serangan udara tentera AS di belakang sebuah trak. FOTO AFP
Agensi

KABUL: Seramai 10 kanak-kanak dalam sebuah keluarga dan tiga dewasa terbunuh dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS) di Kunduz, Afghanistan awal pagi, Sabtu lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan, semalam berkata, serangan terbabit sebahagian daripada pertempuran di antara Taliban dengan tentera pakatan Afghanistan dan AS.

Kata PBB, serangan terbabit tercetus selama 30 jam di Kunduz, kubu kuat militan Taliban.

Laporan awal Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) mendapati kanak-kanak terbabit dan keluarga mereka dipindahkan kerana pergolakan di negara itu.

Reuters melaporkan, UNAMA menerusi kenyataannya mengesahkan semua 13 mangsa maut ketika serangan udara itu tercetus.

Tiga orang dilaporkan cedera dan kejadian berlaku di Telawka yang terletak berhampiran bandar Kunduz.

Menurut AFP, AS satu-satunya tentera pakatan antarabangsa di Afghanistan yang menyediakan bantuan udara dalam konflik terbabit.

Jumlah orang awam maut dalam peperangan Afghanistan tahun lalu dilaporkan paling tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Pergolakan masih berterusan di Afghanistan walaupun AS dan Taliban mengadakan rundingan damai untuk menamatkan peperangan selama 18 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:03 AM