SENJATA tajam yang dirampas daripada kumpulan yang bergaduh  dibawa keluar dari penjara.
SENJATA tajam yang dirampas daripada kumpulan yang bergaduh dibawa keluar dari penjara.
Agensi

Denpasar: Polis di Bali semalam berkata, mereka merampas ratusan tombak, parang dan panah selepas pergaduhan antara dua kumpulan bertentangan meletus dalam penjara dan di jalan raya di luar menyebabkan empat orang mati.

Pergaduhan bermula lewat kelmarin di Penjara Kerobokan, pusat tahanan kawalan ketat yang menempatkan ramai banduan asing.

Dua banduan terbunuh dan dua cedera dalam pertempuran di penjara itu.

“Pergaduhan berlaku dalam penjara membabitkan banduan,” kata Ketua Polis Bali Sugeng Priyanto.

Seorang banduan mati kerana cedera parah di perut sementara seorang lagi cedera teruk di belakang badan, menurut laporan.

Ketika anggota dua kumpulan terbesar Bali itu bergaduh di dalam penjara yang terletak tidak jauh dari kawasan tumpuan pelancong, anggota mereka di luar tiba dan mendesak supaya dibenarkan masuk.

Polis berusaha menyuraikan mereka, tetapi anggota kumpulan terbabit bergaduh sesama sendiri di jalan raya berhampiran Denpasar, menyebabkan dua terbunuh dan dua cedera.

Semua yang mati dan cedera itu rakyat Indonesia.

Jurucakap polis Bali Heri Wiyanto berkata, pihaknya merampas ratusan tombak, parang dan panah dari dalam penjara dan juga daripada kumpulan yang bergaduh di luar.

Polis memindahkan 59 banduan ke penjara lain di pulau peranginan itu.

Polis juga meningkatkan kawalan keselamatan di luar penjara berkenaan semalam.

Bagaimanapun, sehingga ini, tidak dapat dipastikan punca pergaduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:34 AM