POLIS mengumpulkan mayat banduan yang terbunuh selepas rusuhan di penjara Anisio Jobim di Manaus, Brazil. - AFP
POLIS mengumpulkan mayat banduan yang terbunuh selepas rusuhan di penjara Anisio Jobim di Manaus, Brazil. - AFP
Agensi

Brasilia: Pergaduhan antara kumpulan dadah yang meletus di sebuah penjara menyebabkan 56 orang terbunuh dengan sebahagian mayat mangsa dicincang dan dicampakkan ke luar penjara.

Ia disifatkan sebagai keganasan paling buruk dalam tempoh 20 tahun membabitkan sistem penjara Brazil.

Ketua keselamatan negeri Amazonas, Sergo Fontes memberitahu wartawan, kebanyakan yang terbunuh dalam kejadian di bandar Manaus itu ialah anggota kumpulan dadah First Capital Command (PCC) yang berpusat di Sao Paulo.

“Ia satu lagi babak keganasan berkait kegiatan dadah,” katanya.

Setiausaha Penjara Amazonas, Pedro Florencio menyifatkan kejadian itu sebagai ‘pembunuhan balas dendam’ antara kumpulan penjenayah di Brazil.

Ia bermula lewat Ahad lalu dan berjaya dikawal sekitar jam 7 pagi (7 malam, Isnin, waktu Malaysia), kata Fontes.

Sejurus rusuhan bermula di satu unit di kompleks penjara Anisio Jobim itu, puluhan banduan di unit kedua mula melarikan diri secara beramai-ramai yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai usaha yang diselaras untuk mengalihkan tumpuan pengawal.

Kira-kira 184 tahanan melarikan diri dalam kejadian berkenaan. Bagaimanapun, 40 berjaya ditangkap semula.

Kesesakan adalah perkara biasa di penjara di Brazil. Menurut kumpulan hak asasi manusia, banduan di negara itu berdepan dengan kekurangan makanan sementara bilik kurungan begitu sesak hingga banduan tidak ada ruang untuk tidur.

Kompleks penjara Anisio Jobim ketika ini menempatkan 2,230 tahanan walaupun ia hanya mampu untuk memuatkan 590 orang.

Keganasan itu adalah pertempuran terbaru antara banduan yang menganggotai PCC, kumpulan dadah paling berkuasa di Brazil dan kumpulan penjenayah Manaus yang dikenali sebagai Keluarga Utara.

Anggota Keluarga Utara dipercayai menyerang banduan PCC bagi pihak Red Command (CV), kumpulan dadah yang berpusat di Rio de Janeiro dan yang kedua terbesar di Brazil.

Ini bukan kali pertama PCC dan CV bergaduh di penjara di Brazil. Ia pernah berlaku di Roraima, Acre, Porto Velho dan beberapa penjara lain.

Pergaduhan antara kedua-dua kumpulan berkenaan bertambah buruk selepas gencatan senjata yang diadakan antara mereka gagal tahun lalu.

Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan banduan berbalas tembak dengan polis dan menahan 12 pengawal sebagai tebusan.

Fontes berkata, 74 banduan juga ditahan sebagai tebusan ketika rusuhan dengan sebahagian mereka dibunuh dan sebahagian lagi dibebaskan.

Ia yang paling buruk berlaku di penjara Brazil dalam masa kira-kira 20 tahun. Pada 1992, 111 banduan terbunuh di penjara Carandiru apabila polis merempuh pusat tahanan itu untuk mematahkan pemberontakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:38 AM