AMIR Jahari bakal tampil dengan lagu menggunakan bahasa Melayu Sarawak sepenuhnya.
AMIR Jahari bakal tampil dengan lagu menggunakan bahasa Melayu Sarawak sepenuhnya.
Oleh Georgie Joseph

Ketika ini, nama Amir Jahari, 23, belum cukup gah dalam industri muzik tempatan. Namun, bagi yang tahu bakat sebenar pemuzik itu pasti mengaguminya apatah lagi kerja kerasnya yang tidak pernah berpenghujung.

Awal kemunculannya dulu, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini tentu belum boleh melihat dengan jelas hala tujunya, tetapi berbeza apabila sekarang Amir sibuk mengatur kerjaya seninya.

“Saya semakin menyedari kepentingan mencipta jenama sendiri dan produk yang diketengahkan. Jenama yang saya maksudkan meliputi pelbagai segi termasuk fizikal album, konsep persembahan pentas dan dokumentasi aktiviti seni.

“Oleh itu, saya kini merancang mengukuhkan jenama saya bermula album kedua apabila saya mengambil inspirasi daripada band Coldplay yang sentiasa dinantikan kemunculannya bukan setakat lagu saja.

“Pakej dan reka bentuk album, rakaman persembahan siri jelajah dan apa jua elemen bunyi baru dalam muzik mereka turut jadi ikutan ramai,” katanya.

Hala tuju Amir kelihatan semakin jelas lantaran dia kini bergerak sendiri dan sekarang masanya mahu mencurahkan perisa sendiri terhadap kerjaya muziknya.

“Awal dulu, saya masih merangkak mencari tapak sendiri berdasarkan bimbingan dan panduan daripada label Aizat Amdan.

“Sekarang saya mahu meneroka lebih jauh termasuk dokumentasi kerjaya saya.

“Antara perancangan utama saya mahu merakam setiap detik aktiviti seni dan berkongsi dengan semua di YouTube. Saya mahu peminat tahu proses di belakang tabir penghasilan muzik saya,” katanya.

Amir kini lebih berdebar untuk bercerita ‘material’ terbarunya yang jelas menggunakan percaturan berisiko tinggi. Belum pernah dilakukan dalam arus perdana, penyanyi itu bakal tampil dengan lagu menggunakan bahasa Melayu Sarawak sepenuhnya.

Itulah antara kelainan yang penyanyi Selalu Ada itu terapkan dalam album keduanya. Terdahulu, dia merancang melancarkan album penuh, namun selepas dipertimbangkan, dia nekad mengeluarkan single demi single dulu.

“Saya mengambil risiko apabila cuba menampilkan lagu Ingga sebagai single terbaru. Hasilnya nanti kita lihat sama ada ia akan menjadi hit atau tidak. Saya kena berani demi mencari kelainan.

“Ingga akan menjadi penentu apabila belum ada penyanyi yang pernah melakukannya selama ini meskipun di Sarawak, ia bukanlah perkara biasa. Apa yang penting sekarang saya mesti mempromosikan lagu itu dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:01 AM