MOHD Nassuruddin (tengah) merasmikan Tabung Madinah Ramadan di Medan Ilmu. FOTO Siti Rohana Idris
MOHD Nassuruddin (tengah) merasmikan Tabung Madinah Ramadan di Medan Ilmu. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pas menyerahkan keputusan kepada kepimpinan tertinggi berhubung isu kerusi Ahli Parlimen daripada Bersatu yang mungkin akan dikosongkan berikutan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, tiada masalah besar yang akan timbul kerana keputusan itu membabitkan parti dan bukannya kerajaan negeri atau persekutuan.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan yakin jika pilihan raya kecil (PRK) berlaku, rakyat Kelantan tetap bersama Perikatan Nasional (PN).

"Kita tengok keputusan macam mana, akan bincang, tak ada masalah (kerana) parti yang memutuskan bukan kerajaan.

"Baru-baru ini (pilihan raya umum ke-15) rakyat sudah pilih kita dan Bersatu pun dengan kita (Pas) jadi kalau ada apa-apa berlaku sekalipun Insya-Allah rakyat bersama kita sebagaimana pilihan raya lalu," katanya kepada pemberita Medan Ilmu di sini, selepas pelancaran Tabung Madinah Ramadan, hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Media sebelum ini melaporkan Bersatu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, iaitu kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berharap partinya akan diberikan keutamaan bertanding di Parlimen Jeli dan Gua Musang serta DUN Nenggiri jika kosong bersesuaian dengan persefahaman yang dibuat atas nama PN pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 12:52 PM