JPJ Kuala Lumpur memeriksa motosikal dalam Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023, di sekitar ibu negara bermula 20 April sehingga semalam. FOTO Ihsan Ihsan JPJ KL
JPJ Kuala Lumpur memeriksa motosikal dalam Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023, di sekitar ibu negara bermula 20 April sehingga semalam. FOTO Ihsan Ihsan JPJ KL
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,058 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Japan (JPJ) Kuala Lumpur terhadap pemandu dan penunggang motosikal sepanjang Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 20 April lalu sehingga semalam.

Pengarahnya JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, notis dikeluarkan menerusi pemeriksaan yang dilakukan ke atas 2,144 kenderaan dalam empat siri operasi yang dijalankan sekitar ibu kota.

"Bagi kesalahan berkaitan lesen memandu, sebanyak 403 notis dikeluarkan meliputi kesalahan tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan tidak pamer P.

"Bagi kesalahan membabitkan lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans pula, sebanyak 465 notis dikeluarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaki berkata, operasi itu dilakukan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar(JAS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Beliau berkata, objektif penguatkuasaan motosikal diadakan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

"Penguatkuasaan strategik 24 jam secara sekatan jalan raya di laluan motosikal di beberapa laluan utama turut diadakan dan fokus kesalahan berkaitan lesen memandu, cukai jalan dan Insurans, pemakaian topi keledar, nombor pendaftaran, cermin sisi serta kesalahan teknikal," katanya.

Katanya, JPJ turut menyita kenderaan yang mana pemandu tiada lesen memandu dan gagal menyediakan pemandu gantian, cukaijalan serta insurans tamat tempoh melebihi satu bulan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan bagi kesalahan pengubahsuaian motosikal mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya yang lebih selamat, JPJ Kuala Lumpur juga bertindak tegas terhadap pematuhan tujuh kesalahan yang dianggap punca kemalangan.

"Ia bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan serta kematian sepanjang tempoh perayaan HRA 2023 ini," katanya.

Tujuh kesalahan itu adalah tidak mematuhi lampu isyarat, had laju, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai topi keledar atau tali pinggang keledar dan memotong barisan.

From: Aina

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 4:36 PM