ADENAN (tengah) memeriksa lesen pemandu bas pekerja ketika Ops Bas Pekerja di Jalan Paya Terubong di sini.  FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
ADENAN (tengah) memeriksa lesen pemandu bas pekerja ketika Ops Bas Pekerja di Jalan Paya Terubong di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak 250 notis pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam satu pemeriksaan menerusi Ops Bas Pekerja di Jalan Paya Terubong di sini, semalam.

Operasi dijalankan bermula 9 pagi hingga 7 malam itu membabitkan pemeriksaan terhadap 311 bas pekerja.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, daripada notis berkenaan, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 142 saman.

Beliau berkata, 27 notis lagi dikeluarkan atas kesalahan bas yang diparkir di tempat tidak sepatutnya.

"Didapati kebanyakan pemandu tidak memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

"Ini bermakna jika berlaku kemalangan, pekerja yang menaiki bas terbabit tidak dilindungi insurans," katanya kepada media di sini, hari ini.

Adenan berkata, pihaknya turut mengesan 111 kesalahan teknikal berkait tayar, cermin gelap, ubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Kami menerima aduan pengguna jalan raya mengenai sikap pemandu bas pekerja yang sering melanggar kesalahan lalu lintas.

"Tujuan operasi ini mahu membudayakan pemanduan berhemah bagi mengurangkan kemalangan membabitkan bas pekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 12:23 AM