Produk minuman tanpa sijil halal sah yang dirampas. FOTO ihsan KPDNKK
Produk minuman tanpa sijil halal sah yang dirampas. FOTO ihsan KPDNKK
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Suami isteri bersama anak lelaki mereka ditahan kerana disyaki mengeluarkan produk minuman tanpa sijil halal sah dalam serbuan di kilang di kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Batu Maung di sini, tengah hari tadi.

Serbuan pada 12 tengah hari itu membabitkan lima pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dan dua pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri Suhaimi Mat Sari berkata, pemeriksaan dilakukan hasil aduan awam berhubung penggunaan logo halal pada botol minuman berkenaan yang menimbulkan keraguan.

Katanya, dalam pemeriksaan itu 804 botol dengan kandungan 500 mililiter (ml) 120 botol 1,000ml dan 8,000 pelekat logo halal ditemui di dalam premis berkenaan dan semua barangan itu dirampas untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Perkara 4(b) Akta Peraturan Perihal Dagangan serta Penandaan dan Perbahasan Halal 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 5:48 PM