DR Mohd Sukki Othman.
DR Mohd Sukki Othman.
Oleh Dr Mohd Hasrul bin Shuhari

RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 mendapat sokongan 11 mufti negeri lain di samping Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mereka terdiri daripada Jabatan Mufti dari Pahang, Perak, Sabah, Melaka, Kedah, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan Sembilan, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan.

Sokongan mereka dapat dilihat menerusi laman facebook rasmi masing-masing kecuali Pulau Pinang dan Kelantan yang hanya dilaporkan menerusi pihak media.

Menurut Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Kelantan mempunyai kekuatan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang mentakrifkan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) ialah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah. Beliau juga amat berbangga kerana orang-orang terdahulu sudah memperuntukkan perkara itu dan menjadi amalan di Kelantan.

Bagi Mufti Pulau Pinang Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman, antara syarat menjadi Mufti dan Timbalan Mufti adalah mesti berpegang kepada akidah ASWJ yang jelas menolak pandangan ekstrem. Ia boleh merosakkan umat dan memecah belahkan perpaduan dalam masyarakat. RUU ini dipersetujuinya kerana ia akan mengukuhkan lagi institusi fatwa di Malaysia. 

Beliau hanya sebut secara umum yakni akidah ASWJ tanpa menyebut istilah al-Asyairah dan al-Maturidiyah. Jika benar beliau bersetuju kekalkan istilah al-Asyairah dan al-Maturidiyah, maka semuanya berjumlah dua belas mufti yang telah menyokong RUU Mufti tanpa pindaan. Ini selari dengan pengalaman penulis sendiri ketika menjadi ahli geran Jabatan Mufti Pulau Pinang. Pihak Jabatan Mufti mencadangkan agar pegangan ASWJ iaitu al-Asyairah dan al-Maturidiyah dijadikan garis panduan untuk mengkaji tentang Muslim Liberal.

Manakala, Jabatan Mufti Negeri Sarawak belum menzahirkan sokongan. Namun, jika dilihat pada Prosedur Kebenaran Mengajar Agama Islam, Majlis Islam Sarawak 2022, termaktub pada halaman 11 bahawa seseorang yang hendak memohon kebenaran mengajar agama hendaklah memenuhi syarat antaranya beragama Islam dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagi takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah tersebut, ia telah dijelaskan pada halaman 4 bahawa 'Ahli Sunnah Wal Jamaah' bermaksud bermazhab Syafie, tasawuf al-Ghazali dan akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyyah. Arahan ini dikeluarkan pada 1 Mac 2023 di laman sesawang rasmi Jabatan Agama Islam Sarawak.

Selain itu, RUU Mufti ini juga selari dengan saranan pihak keselamatan negara:

Pertama, mantan Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang kini selaku Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), pernah menjelaskan kepentingan ASWJ sebagai benteng daripada terlibat dengan keganasan. Menurutnya pada 2016 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), daripada sejumlah tangkapan yang dibuat, hanya segelintir pengganas melibatkan pelajar pondok. Kenapa jumlah mereka sedikit berbanding pihak lain? Ini kerana fahaman institusi pondok adalah selari dengan fahaman ASWJ. Kitab yang digunakan berdasarkan al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas di samping berpegang teguh dengan manhaj al-Asyairah dan al-Maturidiyah. 

Beliau juga dalam Program Pencegahan Jenayah bersama Komuniti Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada 4 September 2020 menegaskan kepentingan pegangan ASWJ ini dengan berkata: "Kita duduk berpegang kepada mazhab al-Shafii, dari segi akidah kita berpegang aliran al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah dan kita meraikan mazhab lain, mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbal. Jangan bawa benda ranting (furuk agama) untuk mempertikaikan, untuk mengkafirkan orang, untuk membidaahkan orang, itulah ciri-ciri menyebabkan kita terjerumus ke dalam kumpulan militan."

Kedua, kepentingan pegangan ASWJ ini pernah dibentangkan oleh DSP Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff yang merupakan Pegawai Kanan, Cawangan Khas, Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman dalam program anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 2023. Pembentangannya bertajuk 'Kepentingan Manhaj Ahli Sunah Waljamaah dalam Mendepani Radikalisasi Berdasarkan Pengalaman PDRM'. Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana (Master) yang tajuk disertasinya adalah 'Neo Radikalisme: Kajian Kes Daesh Di Malaysia'. 

Menurutnya, antara faktor mendorong kelompok radikal berjihad adalah mereka mendakwa terdapat banyak amalan bidaah di Malaysia. Contohnya talqin, tahlil, maulid dan seumpamanya. Mereka salah faham terhadap hadis kullu bid'atin dolalah dan ini menurutnya bahaya kerana salah faham tentang agama dan banyak pertembungan berlaku disebabkan perkara ini. Bahkan sampai ke tahap mensyirikkan dalam perkara seperti tawassul dan sebagainya. 

Menurutnya, radikal itu bermula dengan kefahaman konsep bidaah yang salah lalu membidaahkan orang lain, kemudian menuju kepada mengkafirkan umat Islam. Beliau menyarankan agar agensi agama perlu proaktif untuk elakkan pertembungan dengan menjawab berdasarkan fahaman ASWJ. Perkara yang didakwa sebagai bidaah ini sebenarnya telah selesai lama, sudah ada fatwa larangan pembidaahan dan seumpamanya.  

Ketiga, Leftenan Kolonel Dr Zulkarnain Haron ketika berkhidmat sebagai pegawai penting dari Cawangan Anti Keganasan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pernah menjelaskan sikap golongan ekstremis yang mempergunakan istilah salaf soleh. Menurutnya, masalah yang timbul ada sekelompok umat Islam yang mencanangkan bahawa mereka adalah golongan salafi dan menuduh kelompok umat Islam yang lain tidak mengikut manhaj salaf. 

Menurutnya lagi, ideologi Salafi Wahabi mendapat tempat dalam kumpulan radikal seperti al-Jamaah al-Islamiyah (JI) dan Islamic State (IS). Meskipun terdapat pecahan dalam kelompok fahaman Salafi Wahabi ini, umumnya mereka jelas berbeza dengan aliran arus perdana Islam yang sebenar. Aliran arus perdana tersebut merujuk kepada ASWJ aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah. Beliau kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). 

Keempat, kes serangan Balai Polis Ulu Tiram telah menemukan buku yang ditulis oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkaitan IS. Ahli akademik dan wakil pihak PDRM telah mengkaji pemikiran penulis ini dalam bukunya yang lain menerusi makalah yang bertajuk Ideologi Ekstrim dalam Seri Materi Tauhid terbitan Journal of Public Security and Safety di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia. Didapati bahawa Abu Sulaiman berfahaman Salafi Wahabi. Antara saranan pengkaji tersebut adalah umat Islam mesti berpegang teguh dengan akidah al-Asyairah kerana aliran ini terbukti berjaya menjaga akidah umat Islam daripada pelbagai fahaman menyeleweng termasuklah ekstremisme. 

Ini menepati dapatan awal ahli akademik berdasarkan temu bual dengan pihak berautoriti berkaitan keselamatan negara yang kini dalam proses penulisan untuk diterbitkan dalam Malaysia Correctional Journal, Jabatan Penjara Malaysia. Pihak berautoriti menyarankan agar dibuat pendedahan secukupnya kepada masyarakat tentang bahaya Salafi Wahabi. Ini kerana, Salafi Wahabi merupakan faktor terbesar kepada wujudnya militan. Pihak berautoriti itu juga mengakui ASWJ aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah adalah lebih selamat untuk dipegang kerana tidak mendorong kepada ekstremisme. 

Ini selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke 106 (kini disebut Jawatankuasa Muzakarah MKI, tanpa perkataan Fatwa) pada 21 hingga 22 Oktober 2014 yang bersetuju memperakukan rumusan penyelidikan bahawa aliran Syiah serta Salafi Wahabi pada masa kini sedang memberi ancaman serius kepada survival ASWJ. Kedua-dua aliran pemikiran ini boleh mendatangkan perbalahan dan perpecahan kepada masyarakat Islam di Malaysia. Muzakarah MKI juga menyatakan ASWJ yang diamalkan di Malaysia berteraskan ajaran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.

Penulis Prof Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 7:00 AM