Rangka manusia dibawa ke Unit Forensik HSNI sebelum dihantar ke Jabatan Kimia. Gambar Alias Abd Rani
Rangka manusia dibawa ke Unit Forensik HSNI sebelum dihantar ke Jabatan Kimia. Gambar Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Polis mengesahkan penemuan rangka manusia oleh orang awam di celah pokok dalam kebun durian, Jalan Yong Peng-Muar, bersebelahan Kompleks Penghulu hari ini.

Namun, sama ada rangka terbabit milik Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, pelajar yang hilang sejak sebulan lalu akan diketahui paling awal minggu depan selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan Jabatan Kimia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang elektrik berdekatan.

"Mangsa kemudian terhumban dalam semak agak curam di dalam kebun durian terbabit. Ia berdasarkan kesan kerosakan pada motosikal digunakan mangsa yang ditemui di lokasi terbabit.

"Rangka terbabit ditemui bersama pakaian, dokumen dan juga barang peribadi mangsa. Setakat ini, dokumen dan barangan dijumpai di tempat kejadian sudah dicamkan ahli keluarga sebagai milik mangsa yang dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu.

"Pengesahan siasatan berhubung kehilangan mangsa pernah disiarkan melalui siaran media pada 28 Mei. Namun, ia belum disahkan secara siasatan forensik atau saintifik ataupun berdasarkan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, pengesahan itu berdasarkan penemuan beberapa dokumen peribadi mangsa yang kemudiannya turut diakui ahli keluarga pelajar tingkatan lima selepas rangka terbabit ditemui pada 11.15 pagi tadi.

Katanya lagi, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, pada masa sama, Bahagian Siasatan Jenayah turut sama menjalankan siasatan bagi mengenalpasti sekiranya wujud unsur lain yang menyebabkan kematian mangsa.

"Pengesahan rasmi identiti rangka manusia itu ditemui akan disahkan selepas laporan DNA (ujian asid deoksiribonukleik) diperoleh daripada Jabatan Kimia.

"Polis juga memohon kerjasama orang ramai mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-221299 atay IPD Batu Pahat 07-4343999," katanya.

Terdahulu, rangka manusia ditemui bersama sebuah motosikal hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti mana dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Turut ditemui jaket dan juga topi keledar dipercayai digunakan mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) ketika keluar rumah pada malam 25 Mei lalu, untuk menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:10 AM