Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Naluri saya mengatakan rangka itu adalah Hafiz (Fauzan)," itu reaksi Abd Halid Sugiman, 44, bapa kepada Hafiz Fauzan, 17, susulan penemuan rangka manusia di celah pokok dalam kebun durian, Jalan Yong Peng-Muar, bersebelahan Kompleks Penghulu Linau, semalam.

Abd Halid berkata, ia berdasarkan kepada penemuan beberapa dokumen serta pakaian dipakai anaknya ketika keluar rumah pada malam kehilangannya, 26 Mei lalu.

"Saya rasa itu Hafiz Fauzan, jika benar apa yang saya katakan, kami reda ditakdirkan sedemikian, Allah meminjamkannya (Hafiz Fauzan) kepada kami sekejap.

"Hafiz Fauzan anak baik, saya bangga dengannya kerana dia pelajar cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum. Walaupun kami hanya seketika bersamanya, saya bersyukur dan mendoakan dia ditempatkan dalam kalangan orang baik.

"Kami terima apa segala keputusan termasuk ujian DNA (asid deoksiribonukleik)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, hari ini.

ABD Halid ketika ditemui di kediamannya hari ini. FOTO Alias Abd Rani
ABD Halid ketika ditemui di kediamannya hari ini. FOTO Alias Abd Rani

Abd Halid dilihat sebak ketika menceritakan peristiwa hari pertama kehilangan anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya, dia sudah beberapa kali melewati lokasi penemuan rangka namun tidak menemui sebarang petunjuk sehingga dimaklumkan berita itu pagi semalam.

"Kira-kira 11 pagi, saya menerima panggilan Balai Polis Yong Peng bertanyakan sama ada betul atau tidak nombor pendaftaran motosikal digunakan Hafiz Fauzan.

"Saya beritahu 'ya' dan tidak lama kemudian, saya diminta hadir ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Batu Pahat untuk ujian DNA. Waktu itu, saya tidak syak apa-apa sehingga dimaklumkan penemuan rangka manusia dan motosikal.

"Selepas mendapat tahu nombor pendaftaran motosikal digunakan Hafiz Fauzan, saya tunggu isteri (Zuraidah Zainuddin, 45) untuk bersama-sama ke IPD bagi mengambil sampel air liur.

"Selepas Maghrib, saya dan isteri diminta membuat pengecaman sebelum ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mengambil sampel darah," katanya yang juga guru Sekolah Kebangsaan Seri Dayong, Sri Medan.

Katanya, sejak kehilangan Hafiz Fauzan, mereka sekeluarga tidak lena tidur dan puas mencari di merata tempat, namun mereka lega penantian itu berakhir jua.

"Saya sangat berasa kehilangannya, kami hanya seketika bersamanya. Dia ringan tulang dan pandai berdikari termasuk mencari wang saku untuk perbelanjaannya," katanya.

Abd Halid memberitahu, mereka sekeluarga bercadang pindah ke kampung halaman di Tanjung Karang, Selangor, tetapi Hafiz Fauzan meminta tangguhkan kerana mahu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Kawan di asrama ada memberitahu dia bertukar menjadi pendiam beberapa hari sebelum cuti persekolahan bulan lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:07 PM