FADILLAH Yusof. FOTO Bernama.
FADILLAH Yusof. FOTO Bernama.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Ahli Parlimen pembangkang bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Kedua, Datuk Seri Fadillah Yusof, bukan bermaksud meminta mereka agar menyokong Perdana Menteri.

Fadillah berkata, saranan itu adalah supaya Ahli Parlimen pembangkang berbincang dengannya bagaimana untuk menjalin kerjasama dalam tadbir urus hal ehwal negara, pentadbiran kerajaan dan Parlimen.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Perpaduan mengiktiraf dan memerlukan pembangkang yang konstruktif.

"Apa yang diharapkan oleh Perdana Menteri itu ialah supaya wakil pembangkang khususnya Ketua Pembangkang untuk bertemu (dengan Fadillah) dan berbincang mengenai beberapa perkara.

"Perbincangan itu bukan untuk meminta (Ahli Parlimen pembangkang) sokong Perdana Menteri, tetapi lebih kepada bagaimana hendak bekerjasama dalam kita mentadbir urus hal ehwal ehwal negara," katanya kepada media selepas Majlis Makan Tengahari dan Penyampaian Anugerah sempena Forum Perniagaan Islam Global di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Fadillah berkata demikian ketika ditanya berapa ramai Ahli Parlimen pembangkang bertemu dengannya selepas Anwar pada 3 November lalu meminta mereka bertemu dengannya untuk berbincang berhubung permohonan peruntukan untuk kawasan mereka.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, perbincangan yang dicadangkan itu bukan saja berhubung peruntukan kerajaan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

"Fokus perbincangan yang dicadangkan itu ialah meneliti banyak perkara untuk kita mengurus tadbir kerajaan ini dengan lebih baik yang bermakna kita memerlukan pembangkang konstruktif yang boleh bekerjasama.

"Ia terutamanya berhubung perkara yang tidak boleh dilakukan bagi mengelakkan menjejaskan hubungan murni antara kaum dan agama. Ini sebenarnya perkara yang hendak kita bincangkan bukan semata-mata soal peruntukan.

"Kita juga mahukan pembangkang yang bertanggungjawab sebab itu kita perlu berbincang bagaimana kita dapat memainkan peranan masing-masing," katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman bertemu dengannya namun beliau bukan datang bukan mewakili pembangkang sebaliknya hanya sebagai individu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 3:38 PM