Dr Boi Saidi Abdul Razak. FOTO Fathil Asri
Dr Boi Saidi Abdul Razak. FOTO Fathil Asri
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) kecewa dengan keputusan kerajaan membatalkan Skim Perubatan Madani (SPM) ke atas semua klinik yang berdaftar dan hanya meneruskan perkhidmatan di 10 lokasi terpilih.

Presiden Perdim Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, SPM sepatutnya diteruskan dan dibuat penambahbaikan selepas menerima peruntukan belanjawan sebanyak RM100 juta dan bukannya dihentikan secara tiba-tiba.

"Pihak Perdim berharap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dapat menilai kembali keputusan ini dan meneruskan perkhidmatan SPM di peringkat klinik swasta.

"Seandainya masalah peruntukan masih tidak cukup, pihak Menteri boleh memperkenalkan sistem kuota untuk setiap klinik merawat pesakit dengan jumlah peruntukan tertentu.

"Mungkin klinik diberi kuota merawat dengan nilai RM10,000 sebulan. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui ProtectHealth boleh memperkenalkan sistem kuota ini untuk membolehkan kesemua 2,506 klinik swasta terus memberikan perkhidmatannya melalui SPM," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini surat rasmi dikeluarkan ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) bertarikh 26 Februari 2024 secara sepihak memaklumkan membatalkan SPM ke atas semua klinik yang berdaftar dan hanya meneruskan perkhidmatan di 10 lokasi terpilih.

ProtectHealth dalam kenyataan media hari ini berkata, pelaksanaan SPM yang diperhalusi dan ditambah baik akan tertumpu kepada 10 daerah dan penerima tertentu bagi meningkatkan keberkesanan, kemampanan dan memaksimumkan impak skim itu.

ProtectHealth berkata, berkuat kuasa semalam 10 daerah fokus ialah Kuala Lumpur; Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang (Selangor); Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak); Timur Laut (Pulau Pinang); Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).

Untuk rekod, dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memaklumkan SPM akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta.

Dr Boi Saidi berkata, dengan adanya SPM, ia sangat membantu mengurangkan kesesakan pesakit di premis kesihatan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 4:29 PM