Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Ahmad Zaharani Yusof Omar (duduk) bersama Pegawai Khas Khairul Anuar Khahfi berbincang mengenai isu kenaikan harga barang yang melebihi 15 peratus di Menara Bank Rakyat. FOTO Amirudin Sahib
Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Ahmad Zaharani Yusof Omar (duduk) bersama Pegawai Khas Khairul Anuar Khahfi berbincang mengenai isu kenaikan harga barang yang melebihi 15 peratus di Menara Bank Rakyat. FOTO Amirudin Sahib
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kira-kira 75 hingga 85 peratus projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di negara ini berada dalam keadaan 'kritikal' disebabkan kenaikan harga barang yang melebihi 15 peratus dan situasi inflasi kian meruncing.

Selain itu, kenaikan harga minyak dan masalah kekurangan pekerja terutama pekerja tempatan menyebabkan ramai dalam kalangan kontraktor 'angkat tangan' dan mahu menyerahkan semula projek yang diperoleh kerana tidak mampu bertahan.

Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Ahmed Zaharani Yusof Omar berkata, ramai dalam kalangan ahli persatuan itu yang terkesan sehingga tidak dapat menyiapkan kerja mengikut kontrak dan paling menyedihkan terpaksa gulung tikar.

"Kami berpandangan isu ini amat membimbangkan dan perkara sebegini sangat tidak sihat serta memberikan impak negatif terhadap industri pembinaan.

"Syarat Perubahan Harga (VOP) yang diperkenalkan kerajaan juga dilihat tidak dapat membantu kontraktor.

"Ini kerana VOP yang dilaksanakan amat terhad dan hanya kepada barangan tertentu.

"Secara realitinya semua bahan binaan di dalam dan luar negara termasuk penyewaan jentera mengalami kenaikan harga yang melampau sehingga 30 peratus disebabkan faktor inflasi serta peningkatan kos logistik akibat daripada kenaikan harga minyak dunia," katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, masalah kekurangan pekerja di tapak pembinaan juga dilihat sebagai salah satu perkara yang perlu diselesaikan segera.

"Kami mengesyorkan agar proses pemutihan dapat dilakukan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) yang masih berada di dalam negara dengan menyerapkan mereka segera ke tapak pembinaan seluruh Malaysia.

"Perkara ini dilihat dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja dengan segera dan juga dapat menjimatkan masa serta kos pengambilan tenaga kerja asing seterusnya merancakkan kembali industri pembinaan.

"Sistem FWCMS (Foreign Workers Centralized Management System) juga dilihat memperlahankan pengambilan pekerja asing dari negara sumber.

"Saya merayu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah segera untuk memberi keutamaan kepada sektor pembinaan terutama kepada syarikat yang mendapat kontrak atau SST (Surat Setuju Terima) daripada pihak kerajaan.

"Ramai dalam kalangan kontraktor juga berdepan senarai hitam dan jaminan bank ditarik balik yang akan menjejaskan reputasi mereka.

"Sekiranya VOP diteruskan, PKBM mencadangkan agar beberapa barangan selain besi bertetulang, 'crusher run', 'mild steel pipe' dan tembaga untuk kerja mekanikal, elektrikal dan produk sanitari turut diambil kira," katanya.

Selain itu, pihaknya mencadangkan agar harga nilai kontrak kerajaan dinaikkan kepada 10 hingga 15 peratus dari harga asal seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diminta agresif memantau pengeluaran eksport bahan–bahan binaan seperti besi agar keutamaan diberikan kepada kegunaan di dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 1:34 PM