LANDSKAP perlu menjadikan kelestarian sebagai elemen penting.
LANDSKAP perlu menjadikan kelestarian sebagai elemen penting.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

SAMBUTAN Hari Landskap Negara 2021 sangat signifikan kerana ia dilihat sebagai penerus kepada fasa seterusnya terhadap kelestarian pembangunan landskap negara.

Profesor di Jabatan Senibina Landskap Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Osman Mohd Tahir berkata, ia adalah kesinambungan hala tuju seni bina landskap negara menerusi Agenda Arkitek Landskap 2030.

"Agenda ini bukan sekadar untuk memperindahkan negara malah melihat kelestarian sebagai elemen penting yang perlu diberi penekanan.

"Apabila kita melihat kepada kelestarian pembangunan landskap di masa hadapan, mahu atau tidak, kita tidak boleh lari daripada pembangunan mampan.

"Oleh itu, saya melihat tahun 2021, adalah sebagai titik permulaan untuk masa depan landskap negara yang lebih lestari selari dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) 2030 untuk 10 tahun akan datang," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

RAMAI mula menyedari kepentingan landskap ketika negara dilanda Covid-19.
RAMAI mula menyedari kepentingan landskap ketika negara dilanda Covid-19.

Beliau yang juga felo dan mantan Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) berkata, dalam mendepani landskap mendatang dan memenuhi matlamat pembangunan lestari beberapa perkara perlu diambil kira.

"Pertama, perlu mengubah pemikiran dengan melihat landskap bukan untuk keindahan sahaja malah perlu bertukar kepada keperluan dan mempunyai nilai yang memberi manfaat.

"Selain itu, semua pihak bukan sahaja perlu mempunyai pemikiran lestari dan bersepadu malah perlu mempelbagaikan fungsi serta nilai landskap," katanya.

Mengulas lanjut, pada masa sama negara perlu membangunkan kayu pengukur pembangunan landskap lestari.

"Kita juga perlu mengintegrasikan kemajuan teknologi dan mentransformasikan kurikulum pendidikan seni bina landskap.

"Sementara itu, kita juga perlu menghormati identiti dan budaya landskap setempat dengan tidak mengambil karakter daripada negara luar," katanya.

Diminta mengulas mengenai impak pandemik Covid-19 terhadap landskap negara, Dr Osman melihat ia memberi kesan positif terhadap kesedaran masyarakat.

HARI Landskap Negara 2021.
HARI Landskap Negara 2021.

"Kita lihat pasca Covid-19 ini adalah titik permulaan betapa pentingnya landskap kepada kehidupan dan kesejahteraan manusia kerana sebelum ini ia dilihat sekadar untuk pengindahan.

"Bagaimanapun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai yang memohon taman dan kawasan hijau dibuka semula kerana ia penting untuk kehidupan mereka termasuk untuk hilangkan stres, berinteraksi dengan alam dan kesihatan," katanya.

Oleh itu, melihat kepada kesedaran kepentingan landskap ini, pembangunan kawasan hijau perlu mengambil kira norma baharu yang diamalkan oleh masyarakat.

"Dengan kata lain, seni bina landskap perlu mempunyai nilai dan memberi manfaat kepada pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:30 AM