REPLIKA pelan pembangunan sekitar KLCC semasa dan akan datang.
REPLIKA pelan pembangunan sekitar KLCC semasa dan akan datang.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang berswafoto di dek pemerhati.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang berswafoto di dek pemerhati.
PENGUNJUNG mengambil gambar pemandangan dari tingkat 86 KLCC.
PENGUNJUNG mengambil gambar pemandangan dari tingkat 86 KLCC.
PENGUNJUNG mengambil gambar pemandangan dari tingkat 86 KLCC.
PENGUNJUNG mengambil gambar pemandangan dari tingkat 86 KLCC.
Suliati Asri


Berdiri di atas jambatan udara pada ketinggian 170 meter dari atas tanah dan di aras 41 bangunan ketujuh tertinggi di dunia sememangnya sesuatu yang cukup mengujakan.

Dipertontonkan pula dengan keindahan pemandangan Kuala Lumpur yang semakin berkembang pesat, berada di jambatan dua tingkat yang menghubungkan bangunan berkembar tertinggi di dunia, Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) ini nyata satu pengalaman unik yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Menambahkan lagi keterujaan, naik ke Dek Pemerhati di aras 86 iaitu tingkat tertinggi yang boleh dikunjungi dan melihat sendiri puncak tertinggi menara ini menjadikan kunjungan ke KLCC ini cukup mengagumkan.

Itulah yang pasti dirasai saat mengunjungi sendiri Skybridge dan Dek Pemerhati di Menara Berkembar PETRONAS ini.

Dibina diatas tapak seluas 40 hektar di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, KLCC ini direka oleh arkitek Cesar Pelli dan siap pada Mac 1996.

Menara kaca dan keluli tahan karat setinggi 88 tingkat ini adalah imbasan warisan Muslim Malaysia dan mempunyai ciri-ciri keselamatan unik yang cukup membanggakan.

Di antara dua bangunan berkembar yang menjadi kebanggaan negara ini, dibina jambatan atau Skybridge di aras 41 dan 42 bagi menghubungkan kedua-dua menara ini.

Jambatan udara ini juga berfungsi sebagai pengimbang kepada dua bangunan berkembar.

Menariknya, jambatan ini tidak dipasang secara kaku di kedua-dua menara kerana juga ada gegaran atau angin kuat, jambatan ini akan bergerak dan mengimbangkan kedua-dua menara.

Di ketinggian 170 meter, 58.4 meter panjang dan beratnya mencapai 750 tan, berdiri di jambatan ini menyajikan pemandangan indah Kuala Lumpur yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Panorama indah matahari terbenam di jambatan ini juga adalah pengalaman terindah dalam hidup.

Menjadi salah satu tarikan pelancongan popular terutama bagi pelancong luar, penerokaan selama sejam di dua tempat iaitu Skybridge dan Dek Pemerhati nyata membuatkan kunjungan ke menara berkembar ini cukup bermakna.

Memulakan penerokaan, pengunjung akan diberikan penerangan mengenai menara berkembar ini sebelum menaiki lift ke aras 41 terletaknya jambatan udara yang akan dikunjungi.

Walau tidak sampai seminit berada di dalam lift, trivia menarik mengenai jambatan diperdengarkan kepada pengunjung.

Berada di aras 41, perasan sangat teruja tetapi punya sedikit kerisauan selepas dimaklumkan jambatan ini tidak dipasang secara kaku di kedua-dua bangunan ini.

Namun, yakin dengan kecanggihan sistem keselamatan, kaki mula melangkah ke setiap ruang dan merakam gambar kenangan.

Skybridge ini seperti yang dilihat dari luar kelihatan seperti terowong kaca dengan siling agak tinggi.

Selesai sesi bergambar dan menyaksikan pemandangan indah, kunjungan ke Dek Pemerhati di aras 86 pula membolehkan pelancong melihat keseluruhan wajah Kuala Lumpur menerusi teropong yang disediakan.

Di sini juga memperlihatkan pengunjung kepada replika pelan pembangunan yang sedang dan akan dijalankan sekitar menara berkembar ini.

Teknologi canggih di pusat pelawat di dek pemerhati itu dilengkapi pameran visual memberikan menakjubkan.

Penerangan secara Mamogram mengenai KLCC dan Pinnacle dengan menghalakan bar kod pada tiket ke kamera televisyen yang disediakan juga cukup mengujakan.

Selain dapat melihat Kuala Lumpur dari sudut pandang 360 darjah, pengunjung juga dapat melihat sendiri puncak atau The Pinnacle yang punya keunikan tersendiri.

Pinnacles yang terpacak di atas menara berkembar ini adalah struktur yang menempatkan lampu amaran untuk pesawat di udara dan peralatan penyelenggaraan bangunan luaran.

Setiap Pinnacle ini juga mempunyai 23 segmen dan bola cincin terdiri daripada 14 cincin yang berbeza-beza diameter yang mewakili 14 negeri di dalam Malaysia pada ketika itu.

Berada di dek pemerhati ini, terasa tenang seketika dengan penorama indah Kuala Lumpur dari sudut pandangan yang berlainan dan di ketinggian 370 meter.

Dibuka untuk kunjungan dari jam 9 pagi hingga 9 malam setiap Selasa hingga Ahad, kunjungan selama sejam dengan tiket berharga RM25 untuk pemegang Mykad nyata berbaloi dengan apa yang disajikan di sini.

Namun, ia ditutup setiap Isnin dan pada Aidilfitri serta Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 3:15 AM