Ahmad Hasbi


Seremban: Berhati-hati ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat sekitar negeri ini kerana anda mungkin disaman jika berhenti di tempat tidak sepatutnya.

Selaras dengan Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas di seluruh negara bermula 28 Julai lalu, Polis Kontinjen Negeri Sembilan turut mengambil langkah sama bagi mendidik pengguna jalan raya di negeri itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, menerusi ops berkenaan sejak 3 Ogos sehingga 6 Ogos lalu, sebanyak 433 saman sudah dikeluarkan di semua daerah.

"Jumlah saman Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas setakat Ahad lalu, adalah sebanyak 330 membabitkan kesalahan halangan lalu lintas dan 103 saman pula kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.

"Saman yang dikeluarkan ini adalah untuk mendidik pengguna dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya di negeri ini," katanya tadi.

Beliau mengulas, berdasarkan tinjauan dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang mendapati pemandu kereta di negeri ini masih mematuhi peraturan berhenti di belakang garisan putih.

"Bagaimanapun, kami mendapati kebanyakan pengguna motosikal berhenti di ruang yang tidak sepatutnya seperti melebihi garisan putih, laluan lintasan pejalan kaki dan kotak kuning," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, garisan putih dibuat dengan bersebab dan salah satu tujuannya adalah demi keselamatan pengguna.

"Pengguna jalan raya diingatkan untuk mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak berhenti melebihi garisan putih kerana perbuatan ini adalah salah satu punca berlakunya kesesakan jalan raya selain mengundang kemalangan dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain," jelasnya.

Tambah beliau lagi, mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 12:37 PM
Ahmad Dzaffir Mohd Yusof menunjukkan jari yang telah dicelup dengan dakwat khas selepas mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Dzaffir Mohd Yusof menunjukkan jari yang telah dicelup dengan dakwat khas selepas mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM