GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Berkuat kuasa semalam, polis menghantar saman 'ekor' ke rumah pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju.

Tindakan itu dilakukan selepas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu laju bagi pengeluaran notis K170A di semua lebuh raya termasuk jalan persekutuan.

Timbalan Pengarah JSPT, Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar berkata, penguatkuasaan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju ini akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah.

Menurutnya, tindakan yang dilaksanakan ini adalah bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan di dalam negara.

"Kita (JSPT) akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan.

"Saman kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan dan ia akan dipos ke rumah mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, memandu melebihi kelajuan adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya di negara ini yang mana pemandu gagal mengawal kenderaan lalu berlaku hilang kawalan.

"JSPT menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.

"Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 1:08 PM