NOR Aine  memeriksa tanaman di rumah hijau Aininaz Farm di Jalan Sungai Dua, Kampung Kuala Dioh. FOTO BERNAMA
NOR Aine memeriksa tanaman di rumah hijau Aininaz Farm di Jalan Sungai Dua, Kampung Kuala Dioh. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Pilah: Deretan pelbagai sayuran segar hidroponik di Aininaz Farm di Jalan Sungai Dua, Kampung Kuala Dioh di sini, umpama anda berada di Cameron Highlands dan pengunjung pasti berasa tenang kerana dapat menikmati kehijauan pokok di sekelilingnya.

Uniknya Aininaz Farm ini, pelanggan bukan sahaja boleh membeli sayur-sayuran segar, tetapi dapat belajar mengendalikan tanaman hidroponik dengan kaedah bersesuaian hasil tunjuk ajar usahawan muda Nor Aine Jamaluddin, 24 tahun.

Menceburi bidang tanaman hidroponik ternyata memberi manfaat kepada siswazah lulusan Sarjana Muda Sains Ekologi Biodiversiti, Universiti Malaya (UM) itu untuk mengembangkan kemahirannya sebagai petani muda moden yang kreatif serta berdaya saing.

"Tercetusnya idea komersialkan tanaman hidroponik apabila Aininaz Farm memenangi pertandingan komuniti NS Fest tahun lalu, kemudian pegawai pertanian mendorong kami mengembangkan tanaman ini.

"Saya ambil peluang itu dan membuat permohonan geran insentif siswazah tani, kebetulan keluarga ada tanah untuk diusahakan. Geran itu digunakan untuk bina infrastruktur serta mengkomersialkan tanaman hidroponik ini," katanya.

Katanya, terdapat 1,500 jenis sayur ditanam di rumah hijau berkeluasan 50x15 kaki persegi itu antaranya sawi putih, sawi bunga, sawi Cameron, kangkung, bayam dan serta salad yang kini mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Mengakui bukan mudah untuk mendapat pekerjaan pada masa kini, Nor Aine bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong dari segi kewangan dan tenaga untuk merealisasikan impian mengusaha sayur-sayuran organik menerusi kaedah tanaman hidroponik.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, meskipun mendapat geran berjumlah RM10,000, abang dan kakaknya banyak membantunya dari segi kewangan tambahan termasuk bersama membina infrastruktur tanaman dilengkapi saliran air tanpa mengupah pihak lain.

NOR Aine  melayan pengunjung yang melihat lebih dekat tanaman di Aininaz Farm. FOTO BERNAMA
NOR Aine melayan pengunjung yang melihat lebih dekat tanaman di Aininaz Farm. FOTO BERNAMA

Katanya projek hidroponik dimulakan pada September tahun lalu dan benih sayuran pertama yang disemai pada 22 Oktober 2022, mencecah jualan RM5,000 dalam tempoh enam bulan.

Menurut Nor Aine, beliau memilih bekerja sendiri kerana yakin dengan potensi perniagaan sayuran hidroponik yang mempunyai tawaran tinggi di pasaran serta budaya masyarakat yang memilih makanan organik untuk kekal sihat.

"Permintaan sangat tinggi daripada restoran, tetapi kami hanya mampu bekalkan mengikut jumlah yang ada, ini kerana perniagaan saya masih baharu. Namun, saya melihat potensinya besar dan akan kembangkan pada masa akan datang.

"Saya mahu berkongsi ilmu ekologi biodiversiti kepada masyarakat serta mengalakkan orang ramai bertani kerana ia sesuatu yang seronok dilakukan tanpa mengira umur," katanya yang berpuas hati dengan maklum balas pelanggan mengenai kesegaran sayurannya.

Katanya, Aininaz Farm menggunakan racun serangga organik yang diformulasi sendiri iaitu berbeza dengan racun serangga kimia di pasaran kerana ia bukan sahaja menjaga tanaman, malah dapat melindungi serangga daripada mati akibat diracun.

"Maksudnya, racun buatan sendiri ini tidak membunuh sebaliknya hanya menghalau serangga, tetapi pemantauan perlu dibuat lebih kerap," katanya.

Selain itu, katanya, rumah hijau terbabit sedang dalam perancangan dikembangkan sebagai kawasan ekopelancongan memandangkan kawasan seluas 0.4 hektar itu berpotensi sebagai tapak perkhemahan cantik seperti di Cameron Highlands.

"Rata-rata pengunjung yang kali pertama berkunjung pasti menyangka kami menanam strawberi, mungkin kawasan ini seperti di Cameron Highlands, permukaan berbukit di tanah milik keluarga saya ini juga sesuai dijadikan tapak perkhemahan kerana dikelilingi pokok hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 7:02 AM