BENIH bermutu berikan hasil terbaik.
BENIH bermutu berikan hasil terbaik.
Muhamaad Razis Ismail


MASIH ada dalam kalangan masyarakat yang kurang mengetahui kangkung turut memiliki biji benih.

Kebiasaannya ramai yang hanya mengetahui kangkung boleh hidup dengan keratan batang.

Namun perlu difahami kebanyakan sayur ini yang dijual di pasaran adalah kangkung yang ditanam daripada biji benih.

Pemilik Mini Kebun Bidara Mewangi Selamanya, Rosley Tamby berkata, kebiasaannya sayur yang ditanam daripada biji benih ini dipanggil kangkung akar.

Katanya, ia dituai dengan mencabut pokoknya dan dijual bersama akarnya.

"Kangkung akar ada jenis yang berdaun runcing atau Bamboo Leaves. Ada juga jenis yang berdaun sedikit lebar atau Broad Leaves.

"Harga benih di pasaran berbeza untuk kedua-dua jenis daun kangkung. Benih kangkung daun runcing lebih murah berbanding benih kangkung berdaun lebar," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anggaran harga benih kangkung daun runcing sekitar RM16 hingga RM20 untuk sekilogram manakala harga benih kangkung daun lebar adalah antara RM21 hingga RM25.

BENIH kangkung berdaun lebar.
BENIH kangkung berdaun lebar.

Menurutnya, sekiranya kangkung ditanam yang di kawasan rumah menggunakan teknik semaian biji benih, ia akan tumbuh menegak sebatang.

"Jika dibiarkan lebih lama, cabang baharu akan tumbuh di kiri dan kanan.

"Cabangnya tidak menegak, tetapi akan hidup menjalar sebelum menghasilkan bunga kangkung dan biji benih," katanya.

Beliau berkata, apabila menuai dengan cara memotong batang pertama yang tumbuh menegak, tunas baharu akan tumbuh nanti sudah tidak sama seperti batang pertama.

"Tunas baharu akan lebih cepat mengeras berbanding batang pertamanya manakala bentuk daunnya juga akan berubah.

SAYUR kangkung.
SAYUR kangkung.

"Semaian biji benih boleh dilakukan terus ke batas atau tempat tanaman anda. Ia boleh dilakukan sama ada dengan menabur (biji benih) serata dan atau disusun mengikut aturannya.

"Jika mahu menyemai terlebih dahulu pun tiada bermasalah,"

katanya.

Beliau berkata, untuk hasil yang bagus, usahakan daripada benih yang bermutu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) penanaman dan penjagaan yang bersesuaian.

"Tanaman kangkung boleh juga ditanam menggunakan kaedah hidroponik dan akuaponik.

"Setiap tanaman dan kaedah tanaman, pastinya ada teknik penjagaan, siraman, pembajaan dan kawalan makhluk perosaknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 6:30 AM