MAMAT
MAMAT

Kuala Lumpur: Pengarah popular Mamat Khalid dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor, pagi semalam akibat kepenatan dan sesak nafas.

Isterinya, Hasmah Hassan, 54, ketika dihubungi berkata, suaminya mengadu sukar untuk bernafas jam 3 pagi tadi selepas pulang minum bersama rakannya.

“Waktu itu dia kata masih okey. Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) dia masih mengalami kesukaran untuk bernafas dan saya serta anak membawanya ke hospital jam 9 pagi.

“Pemeriksaan doktor mendapati tekanan darahnya tinggi dan doktor juga bimbang dia mengalami masalah jantung tersumbat seperti sebelum ini.

“Bagaimanapun, keadaannya stabil dan doktor mahu dia berehat,” katanya.

Pada November 2014, Mamat turut dimasukkan ke ICU selepas mengalami masalah jantung tersumbat.

Menurut Hasmah, Mamat dipercayai keletihan selepas menghadiri majlis tayangan perdana filem terbarunya, Lebuhraya Ke Neraka yang diadakan di pawagam di Bukit Bintang, di sini, petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:28 AM