ERBAIN melihat Halimatul Saadiah menggunakan peralatan khas untuk menyedut kahak Siti (gambar kecil). FOTO Mohamed Farid Noh
ERBAIN melihat Halimatul Saadiah menggunakan peralatan khas untuk menyedut kahak Siti (gambar kecil). FOTO Mohamed Farid Noh
Mohamed Farid Noh


BAYI perempuan berusia tujuh bulan menanggung derita pelbagai komplikasi kesihatan termasuk saluran jantung tersekat, saluran nafas sempit dan sumbing pada lelangitnya.

Siti Iszarian Erbain dari Kampung Parit Jambi, Yong Peng sebelum ini dilahirkan pramatang dengan berat hanya 1.5 kilogram (kg).

Suri rumah Halimatul Saadiah Ishak, 37, berkata anak bongsunya terpaksa dirawat di wad penjagaan intensif bayi (NICU) di Hospital Serdang dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sejak dilahirkan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Katanya, Siti perlu mendapat rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi masalah jantung dan sumbing pada lelangitnya, manakala HSNU untuk rawatan susulan masalah saluran pernafasan sempit.

"Tidak seperti bayi normal lain, Siti bergantung sepenuhnya kepada susu formula yang perlu diberikan setiap tiga jam sekali menerusi saluran tiub terus ke perutnya, malah tidak boleh diberikan makanan lagi berikutan masalah sumbing pada lelangitnya.

"Mempunyai masalah saluran pernafasan sempit, leher Siti juga perlu ditebuk dan diletakkan tiub bagi menyedut kahaknya setiap kali nafasnya berbunyi atau ketika nafasnya laju bagi mengelakkannya sesak nafas.

"Saya dan suami, Erbain Othman, 45, perlu sentiasa peka dan menjaga Siti sepanjang masa terutama pada waktu malam kerana bimbang dia akan sesak nafas atau tersedak dan perlu menyedut kahaknya menggunakan mesin khas yang dipinjamkan HSNI,” katanya.

Menurutnya, pembedahan untuk membetulkan saluran jantung, sumbing pada lelangit dan saluran pernafasan anaknya tidak dapat dilakukan kerana perlu menunggu usianya meningkat kepada dua tahun.

Katanya, selain itu berat badan Siti baru mencecah 4.7 kilogram masih di bawah sasaran doktor.

Sementara itu, Erbain yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, tidak seperti bayi normal yang lain, Siti juga tidak mengeluarkan sebarang suara atau bunyi termasuk ketika menangis.

Katanya, berikutan itu dia dan isteri perlu sentiasa berwaspada dan melihat kepada riak muka serta bunyi nafas anak mereka bagi mengetahui sama ada Siti mengalami sesak nafas sekali gus perlu menyedut kahaknya.

"Perbelanjaan menguruskan Siti termasuk kelengkapan perubatan serta susu dan membawanya mendapatkan rawatan susulan ke HSA dan HSNI pula mencecah RM1,000 setiap bulan bersamaan dengan gaji bulanan saya.

"Alhamdulillah, adik-beradik saya dan isteri sentiasa membantu apabila kami mengalami kekurangan wang perbelanjaan, malah permohonan bantuan kepada Baitulmal juga baru diluluskan semalam apatah lagi kami mempunyai tiga anak lelaki berusia 10, lapan dan lima tahun yang sudah bersekolah.

"Siti perlu diberikan tujuh jenis ubat dibekalkan HSA dan HSNI setiap hari termasuk ubat untuk jantungnya, namun kelengkapan yang lain termasuk tiub susu dan tiub kahak yang perlu diganti setiap hari selain susu formula yang kami usahakan sendiri, " katanya.

Katanya, dia dan isteri sentiasa berdoa supaya kesihatan Siti akan pulih sekali gus dapat membesar seperti kanak-kanak normal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 1:31 PM