Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. FOTO BERNAMA
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. FOTO BERNAMA
Oleh Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Masalah keluarga, kemalangan dan sakit dikenal pasti antara punca ketidakhadiran murid menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata analisis kementerian juga mendapati faktor calon bekerja turut mendorong keadaan sedemikian berlaku.

Ini kerana, katanya, 8,676 daripada keseluruhan murid tidak menduduki SPM adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), manakala calon persendirian (1,263 individu).

Beliau berkata, 221 lagi adalah calon lain termasuk dari sekolah di bawah agensi kerajaan, sekolah menengah agama negeri, sekolah menengah agama rakyat dan sekolah swasta.

"Bagi peperiksaan SPM 2023, seramai 383,685 calon baharu mendaftar, sekurang-kurangnya enam subjek dan 10,160 atau 2.6 peratus daripada jumlah ini tidak hadir menduduki peperiksaan.

"Ia mencatatkan penurunan sebanyak 4,698 orang iaitu 1.2 peratus berbanding 14,858 atau 3.8 peratus calon pada 2022," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan mengenai calon tidak menghadiri SPM 2023 dikemukakan sembilan ahli Parlimen, antaranya Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam).

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM menggariskan empat intervensi untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah serta menghadiri SPM, termasuk mengoptimum perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah melalui program pembangunan diri murid.

"Mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Panduan Pengurusan Rekod Sistem Kehadiran Murid Di Sekolah KPM untuk menegaskan rekod kehadiran murid, anak kita ke sekolah.

"Memberi peringatan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk memantau kehadiran.

"Mengetengahkan pempengaruh pendidikan berpakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling bagi berkongsi ilmu dan juga pengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:53 PM