Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek
Oleh Suraya Ali


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju membenarkan murid serta pelajar yang kediaman mereka dilanda banjir untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudah mengeluarkan surat peringatan berhubung kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir sejak Oktober lalu yang membenarkan perkara terbabit.

"KPM juga sudah mengambil tindakan melalui Jawatankuasa Task Force Bencana Monsoon Timur Laut (MTL) KPM bagi menyelaras fungsi bahagian KOM berkaitan dalam pengurusan bencana banjir MTL," katanya.

Fadhlina berkata, KPM turut membuat tuntutan takaful untuk murid serta pelajar KPM yang dilaporkan lemas di Kelantan.

"Tuntutan takaful sebanyak RM5,500 seorang akan diserahkan kepada keluarga mangsa.

"Sekolah-sekolah yang terkesan banjir dan sekolah yang dijadikan PPS akan diberikan bantuan RM2,000 oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn," katanya.

Ditanya berkaitan persediaan menghadapi peperiksaan awam, Fadhlina berkata, 4,058 calon Sijil Tinggi Agama akan menduduki peperiksaan yang bermula hari ini.

"Setakat jam 2 petang semalam, tiada calon yang berada di PPS akibat banjir," katanya.

Bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 (SPM) yang akan bermula 8 Januari ini, Fadhlina berkata, 395,870 calon SPM 2023 akan menduduki peperiksaan dan hanya seorang calon masih berada di PPS di Johor.

"Sehingga 1 Januari 2024, tiada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2023 (STPM) yang berada di PPS dan peperiksaan STPM akan dikelolakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bermula 9 Januari," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berkaitan pengoperasian sekolah ketika kes Covid-19 meningkat naik, Fadhlina berkata, KPM sudah mengeluarkan surat peringatan kepada semua institusi pendidikan di bawah KPM berkaitan perkara terbabit.

"Semua institusi pendidikan KLM dimohon untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa," katanya.

Fadhlina berkata, selain itu, semua institusi pendidikan KPM perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 dan jangkitan respitori lain yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 2:14 PM