Kawasan penempatan penduduk di kampung Bukit Malut. FOTO NSTP
Kawasan penempatan penduduk di kampung Bukit Malut. FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lebih banyak kemudahan tong sampah besar perlu disediakan di kawasan penempatan Bukit Malut, Pulau Langkawi supaya penduduk dapat membuang sampah dengan cara yang betul.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bagi mengelak keadaan bertambah buruk sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkaitan jika sampah dibuang terus ke dalam laut.

Katanya, sebenarnya kebanyakan sampah itu datang dari merata tempat yang hanyut susulan fenomena air laut pasang ketika ini.

"Tidak semua sampah di kawasan Bukit Malut berpunca daripada penduduk di situ kerana ada sampah seperti botol air minuman mempunyai tulisan Siam dipercayai dari negara jiran.

"Lagi pun seramai 285 orang pekerja E-Idaman di Langkawi adalah penduduk Bukit Malut. Mereka adalah pekerja pembersihan, jadi takkan mereka suka-suka buang sampah begitu saja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Harian Metro melaporkan Langkawi menghasilkan 150 tan sampah sehari walaupun penduduknya cuma 111,500 orang sahaja.

Maklumat mendedahkan sebahagian besar masalah itu datang daripada penempatan di Bukit Malut terletak kira-kira lapan kilometer dari Pekan Kuah.

Difahamkan, penduduk di perkampungan Bukit Malut didiami kurang 5,000 Melayu Islam Kedah (MIK) yang didakwa membuang sampah dari tingkap rumah mereka terus ke dalam laut menyebabkan timbunan sampah-sarap kini memenuhi dasar lautan.

Bukan itu sahaja, pemandangan luar biasa dapat dilihat apabila perkampungan Bukit Malut kini dipenuhi sampah-sarap yang nyata mencacatkan pemandangan pulau legenda itu.

Lebih mengejutkan, berdasarkan maklumat diperoleh daripada sumber terdekat, syarikat konsesi bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di pulau itu memperoleh tiga tan sampah untuk sekali kutipan di penempatan itu.

Dianggarkan seminggu tiga kali kutipan sampah dilakukan di penempatan itu sekali gus menimbulkan persoalan adakah bermakna lebih sembilan tan sampah selama seminggu dihasilkan penduduk di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 5:17 PM